Headlines News :
Home » » Lim Chong Eu Tokoh Ikonik - PM.

Lim Chong Eu Tokoh Ikonik - PM.

PUTRAJAYA 26 Nov. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu seorang tokoh yang bersifat ikonik dalam sejarah politik tanah air.

Beliau berkata Chong Eu muncul ketika negara menghadapi detik-detik hitam selepas tragedi 13 Mei, 1969 di mana beliau berjaya memilih jalan ke arah penyatuan semula dan kestabilan politik tanah air.

"Tun Lim memilih jalan bekerjasama dengan Perdana Menteri ketika itu Allahyarham Tun Abdul Razak dan akhirnya menjadi salah seorang yang menjadi pemimpin yang telah mengasaskan penubuhan Barisan Nasional," katanya selepas menerima kunjungan pendakwah Islam, Dr. Sheikh Yusuf Islam atau Cat Steven di sini.

Najib berkata, beliau juga akan ke Pulau Pinang pada Ahad ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Chong Eu.

Chong Eu, 91, meninggal dunia pada Rabu lalu di kediamannya di Tanjung Bungah selepas dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang hampir sebulan akibat serangan angin ahmar.

Najib berkata, sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Chong Eu telah bekerja dengan penuh gigih untuk membangunkan negeri itu sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.

"Ini adalah hasil daripada usaha Tun Lim untuk memperkenalkan Pulau Pinang sebagai sebuah pulau yang indah dengan daya tarikan pelancongan dan juga sebagai sebuah pulau yang menjadi tapak kepada proses industrialisasi yang telah dimulakan dengan kemunculan syarikat multinasional membuka operasi dan kilang mereka.

"Ini semua telah pun terakam dalam sejarah negara kita dan saya percaya walaupun Tun Lim tidak ada lagi bersama-sama kita tetapi sumbangan dan jasa beliau akan sentiasa dalam kenangan dan akan terakam dalam lipatan sejarah negara kita," katanya

Najib juga berkata jemaah menteri yang bermesyuarat hari ini turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Chong Eu.

"Jemaah menteri merasakan sumbangan beliau begitu besar dan akan kita kenang jasa-jasa serta sumbangan beliau yang tidak ternilai kepada kejayaan negara dan juga kepada usaha untuk memulihkan keadaan di dalam negara kita terutama sekali selepas peristiwa 13 Mei, 1969," katanya. - BERNAMA.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger