KEPALA BATAS 6 Julai - Ibu kepada mangsa virus Japanese Encephalitis (JE) berasa sebak setiap kali berbuka sepanjang Ramadan ini kerana terkenangkan anaknya, Muhammad Ammar Muqnish Zulkifli, 12, yang masih belum stabil akibat virus berkenaan.
Haniza Ayob, 40, berkata, anakânya itu mula belajar berpuasa sejak berusia lima tahun dan tidak pernah meninggalkan puasa dan bersahur.
"Keadaan berbeza tahun ini kerana dia masih tidak sedarkan diri, perkara ini yang membuatkan saya sekeluarga berasa sebak," katanya.
Haniza berkata demikian selepas ditemui dalam majlis berbuka puasa anjuran UMNO Bahagian Kepala Batas yang turut dihadiri Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di sini semalam.
Sempena majlis itu, UMNO Bahagian Kepala Batas menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Haniza untuk membayar rawatan perubatan selain mengadakan solat hajat.
Haniza berkata, serangan virus JE itu juga menyebabkan anaknya terpaksa menangguhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
"Muhammad Ammar Muqnish seorang murid yang bijak dan saya tahu dia telah membuat persiapan dan mengulang kaji pelajaran untuk menduduki UPSR," katanya sebak.
Ditanya keadaan anaknya, Haniza berkata, Muhammad Ammar Muqnish masih belum stabil dan sesekali diserang sawan.
"Ketika diserang sawan, saya tidak sanggup melihat keadaannya namun terpaksa kuatkan diri memanggil Ammar dan menggosok lengannya," kata Haniza
No comments:
Post a Comment