Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengecam tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N Rayer daripada DAP yang mengeluarkan perkataan kesat dengan menggelar pemimpin UMNO sebagai ‘celaka’.
Rayer ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, mendakwa beberapa pemimpin UMNO di negeri ini cuba menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan tragedi 13 Mei 1969.
“Celaka-celaka UMNO ini kurang ajar, biadab dan selalu mengapi-apikan dengan membawa sepanduk memainkan isu rasis peristiwa 13 Mei. Celaka mereka,” katanya.
Kenyataan Adun DAP itu telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati wakil rakyat BN dan menuntut beliau menarik balik perkataan ‘celaka’ itu yang dilihat mencemar dewan.
Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) berkata kenyataan Rayer itu adalah keterlaluan dan telah melanggar peraturan dewan.
“Jika Yang Berhormat Seri Delima mahu menzahir rasa marah ia bukan dalam dewan yang mulia ini. Sebagai ahli dewan, Yang Berhormat perlu mematuhi peraturan dewan iatu Perkara 46 yang menyebut setiap ahli dewan dilarang menggunakan perkataan yang menyakitkan hati dan sentuh peribadi pihak tertentu.
“Sepatutnya Seri Delima tidak perlu gunakan perkataan kesat seperti celaka. Justeru, saya mohon pertimbangan Speaker menangani perkara ini kerana jika ia dibenarkan, perkataan seumpama ini akan mula digunakan dalam dewan,” katanya.
Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN-Teluk Bahang) kemudiannya bangun mencelah dan meminta Adun DAP itu menarik balik perkataan ‘celaka’.
Speaker Datuk Law Choo Kiang kemudiannya menegur Rayer dan memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulangi perkataan kesat itu.
Sementara itu, dalam sidang akhbar, Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid mahu Law bertegas dalam mengendalikan sidang DUN supaya anggota dewan tidak mudah mengguna dan mengeluarkan kata-kata kesat ketika persidangan berlangsung.
Beliau berkata selain sebagai menghormati kemuliaan dewan, ketegasan itu juga penting memandangkan penggunaan kata-kata kesat ketika persidangan berlangsung adalah melanggar peraturan DUN.
“Sememangnya apa yang diperkatakan oleh Adun Seri Delima (R.S.N Rayer) menyalahi peraturan, menggunakan kata-kata kesat kepada orang yang tidak ada di dalam dewan, memang menyakitkan hati,” katanya.
Adun Penaga Mohd Zain Ahmad yang turut hadir dalam sidang akhbar itu menyifatkan tindakan Adun DAP itu adalah provokasi supaya Adun BN melatah.
“Apa yang diperkatakan oleh Rayer tidak relevan langsung dengan persidangan DUN, oleh itu kami mahu Speaker dapat pastikan Rayer tidak buat lagi perkara seperti itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment