PERMATANG PAUH -Pengundi di Kajang akan menerima nasib yang sama seperti pengundi di Permatang Pauh jika mereka memilih calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac ini.
Ketua UMNO Bahagian itu, Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, ini terbukti apabila Wan Azizah pernah mengkhianati pengundi di Permatang Pauh setelah dia meletak jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh pada PRK 2008 untuk memberikan laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.
"Sejarah Wan Azizah sebagai Ahli Parlimen adalah dia tak kenal pengundi dan tak peduli langsung masalah rakyat di Permatang Pauh termasuk sejak Anwar memenangi kawasan itu.
"Wan Azizah akan mengulangi episod yang sama di Kajang kerana dia akan meletak jawatan jika keputusan mahkamah sebaliknya bagi membolehkan Anwar bertanding di Kajang," katanya di sini hari ini.
Mohd. Zaidi berkata, Permatang Pauh menjadi batu loncatan kepada Wan Azizah dan Anwar kerana dia tidak berbuat apa-apa untuk memajukan taraf sosioekonomi penduduk di sini.
"Sebagai pengundi di sini saya sedih apabila nasib rakyat tidak dibantu oleh Anwar," ujarnya.
Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Farid Idris Khan berkata, pengundi Kajang perlu menolak Wan Azizah atas apa yang pernah beliau lakukan ke atas Parlimen Permatang Pauh.
"Kita pengundi di sini sudah tahu taktik menggunakan simpati rakyat yang akan digunakan untuk memancing undi.
"Jangan percaya dengan taktik Wan Azizah itu kerana kami sudah alami sendiri di Permatang Pauh apabila pengundi dibiarkan tidak dibela apabila menang di kawasan itu," katanya.
Beliau berharap pengundi Kajang memilih parti BN yang terbukti jelas membela nasib rakyat.
Pengundi wanita, Hasiah Mahamad berkata, Wan Azizah tidak perlu bertanding di Kajang kerana PKR tidak melakukan apa-apa seperti yang dialami oleh pengundi di Permatang Pauh.
"Sejak PKR memenangi Parlimen Permatang Pauh, pada zaman Wan Azizah dan Anwar, saya nak tanya apa yang mereka buat untuk pengundi di sini?"
"Rakyat akar umbi memerlukan bantuan wakil rakyat tetapi sejak menang pilihan raya tak nampak kelibat mereka. Inikah wakil rakyat yang memperjuangkan nasib rakyat," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Wan Azizah tidak bertanding lagi di Kajang kerana bimbang rakyat tidak mendapat pembelaan.
No comments:
Post a Comment