WANITA UMNO P.PINANG SELAR GELARAN NENEK RASIS TERHADAP JAHARA




PULAU PINANG 23 Dis. - Pergerakan Wanita UMNO negeri mencabar Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk menyatakan perasaannya secara ikhlas jika ada pihak menggelarnya sebagai 'apek rasis.

Ketuanya, Norliza Abdul Rahim berkata, tindakan sedemikian amat wajar supaya masyarakat tahu sikap sebenarnya berikutan gelaran 'nenek rasis' yang dilabelkan terhadap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Jahara Hamid baru-baru ini.
Menurutnya, sebagai Ketua Menteri, Guan Eng seharusnya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan khususnya melibatkan sensitiviti gender.

"Apa perasaannya sekiranya dia dilabelkan sebagai 'apek rasis'?

"Kami sekeras-kerasnya meminta Guan Eng lebih sensitif dalam mengeluarkan kenyataan apabila berdepan dengan wanita," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Guan Eng dalam sidang akhbar semasa sidang DUN baru-baru ini menggelarkan Jahara sebagai 'nenek rasis' kerana dikatakan cuba membangkitkan isu perkauman apabila menuduh kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu.


Guan Eng kemudiannya memohon maaf kepada Jahara tetapi hanya untuk gelaran 'nenek' malah Setiausaha Agung DAP itu tetap menyifatkan Jahara sebagai seorang yang rasis.
Sehubungan itu, tegas Norliza, pihaknya mendesak Jawatankuasa Disiplin DAP supaya mengambil tindakan terhadap Guan Eng selaku Setiausaha Agung parti berikutan kenyataannya yang berbaur seksisme.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Guan Eng juga boleh dianggap rasis apabila keputusan-keputusannya selama ini banyak merugikan orang Melayu dan bumiputera di negeri ini.
Sebagai contoh jelasnya, kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat seperti mengamalkan penguatkuasaan secara selektif terutama perobohan gerai-gerai haram.

"Kita tidak mahu hanya gerai-gerai sesetengah kaum diambil tindakan.

"Ini ternyata bertentangan dengan prinsip cekap, akauntabiliti, telus (CAT) yang dilaung-laungkan selama ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment