PERDA PERUNTUKAN RM2.8 JUTA UNTUK PELAJAR KURANG MAMPU DI P.PINANG




TASEK GELUGOR 21 Dis. - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menyediakan peruntukan besar bagi membiayai program pendidikan dan kebajikan tahun ini dalam usaha memenuhi tanggungjawab sosialnya.

Pengerusi Perda, Datuk Shahbudin Yahaya berkata, sebanyak RM2.8 juta telah dibelanjakan untuk pendidikan dan RM240,000 untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat miskin.

"Peruntukan besar dalam bidang pendidikan disalur bagi membolehkan pelajar kurang mampu mendapat peluang sepenuhnya meneruskan pelajaran seperti rakan lain.

"Sehingga kini hampir 100,000 pelajar negeri ini mendapat manfaat yang dibuktikan melalui peningkatan pencapaian dalam peperiksaan yang diduduki mereka," katanya selepas menyampaikan uniform sekolah kepada 180 pelajar kurang mampu dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Ayer Tawar, Sungai Dua dan Permatang Berangan di sini semalam.

Shahbudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menjelaskan, bantuan tersebut diberikan setiap tahun bertujuan mengurangkan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan baharu.


No comments:

Post a Comment