Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) mendakwa beberapa keputusan dan dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng bersifat diktator serta tidak menguntungkan rakyat.
Presidennya, Rahmad Isahak berkata, perkara itu boleh dilihat dalam tiga isu yang timbul selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 yang mana Guan Eng gagal memberi penjelasan logik sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.
Antaranya, kata beliau, isu pencerobohan Bukit Relau yang mana sehingga hari ini rakyat masih tertanya-tanya dalang sebenar kerana aktiviti yang dilakukan pihak swasta itu seolah-olah diberi lampu hijau oleh kerajaan negeri.
"Bertambah pelik, kerja-kerja pembersihan bukit itu turut gagal dikesan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sedangkan dapat dilihat dengan jelas dari Jambatan Pulau Pinang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Rahmad, walaupun perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer kepada media beberapa hari selepas pilihan raya umum lalu, namun tindakan tersebut dilihat sekadar sandiwara bagi melindungi dalang sebenar.
Tambahnya, Kerajaan DAP Pulau Pinang juga tidak melaksana slogan Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) seperti dicanang dalam pentadbiran mereka kerana sehingga kini gagal menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat perkara berkenaan.
Rahmad yang juga bekas ahli DAP berkata, sikap diktator yang diamalkan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang juga dapat dilihat dalam tindakan merobohkan menara pemancar di Pulau Betong, Balik Pulau baru-baru ini.
"Kenapa menara telekomunikasi berkenaan yang bernilai hampir RM600,000 dirobohkan oleh MPPP ketika cuti umum Hari Deepavali.
"Mereka bertindak zalim sedangkan menara tersebut telah wujud hampir tujuh tahun lalu dan mendapat kelulusan bersyarat," katanya.
Menurutnya, isu itu melibatkan kepentingan awam kerana penduduk di kawasan berkenaan yang majoritinya orang Melayu menggunakan kemudahan menara tersebut sebagai medium komunikasi selain turut digunakan beberapa jabatan kerajaan.
Paling mengejutkan, kata beliau, masalah berkenaan sudah dibawa ke pengetahuan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd. Rashid Hasnon pada 30 Oktober lalu yang berjanji akan mencari jalan penyelesaian.
"Walau bagaimanapun, menara itu tetap dirobohkan sekali gus menunjukkan Kerajaan DAP Pulau Pinang langsung tidak menghormati Mohd. Rashid sebagai Timbalan Ketua Menteri dan bagi saya ini perbuatan biadab kerana membelakangkan kuasa pemimpin Melayu," katanya.
Dalam pada itu, menurut Rahmad, Kerajaan DAP Pulau Pinang juga gagal menguruskan isu syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Telco milik kerajaan negeri yang bermasalah sehingga terpaksa berkongsi 40 peratus pegangan saham dengan syarikat lain dari Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Rahmad mencabar Guan Eng menjawab secara rasional kesemua masalah yang dibangkitkan tersebut segera.
No comments:
Post a Comment