KEPALA BATAS 16 Nov. - Sekumpulan 30 pemuda yang menggelarkan diri sebagai Anak Muda Pulau Pinang mengadakan demonstrasi aman mengecam kebiadapan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang menyifatkan Pertubuhan Pendaftar (ROS) sebagai 'anjing' baru-baru ini.
Ketuanya, Jahangir Abdul Sukkor berkata, sebagai orang Islam tanpa mengira fahaman politik, mereka sangat marah dan terhina dengan kenyataan tersebut yang menunjukkan keangkuhan Tony serta sikap angkuhnya yang enggan memohon maaf.
"Bantahan ini juga ditujukan kepada pemimpin DAP yang lain seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng kerana hanya berdiam diri dan seolah-olah merelakan penghinaan yang dibuat Tony terhadap ROS serta orang Melayu lain. Kami berasa amat marah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai bantahan aman selama kira-kira 15 minit selepas solat Jumaat di Masjid Daerah Seberang Perai Utara, di sini semalam.
Kumpulan berkenaan turut membawa pelbagai poster mengecam DAP.
Katanya, penghinaan terhadap ROS tidak patut berlaku kerana pertubuhan itu hanya bertindak selepas mendapat aduan daripada ahli DAP sendiri yang tidak berpuas hati dengan perjalanan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu.
"Penghinaan terhadap ROS sukar untuk diterima kerana hampir 95 peratus kakitangannya terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam," katanya.
Kumpulan berkenaan dalam masa sama turut menggesa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas 'mengajar' sekutu mereka itu supaya tidak berterusan bertindak biadab dan angkuh.
"Selagi Tony dan DAP tidak memohon maaf, kami akan terus menyuarakan bantahan dan akan mengadakan satu lagi bantahan dalam masa terdekat di sebelah pulau pula," katanya
No comments:
Post a Comment