ZAHID HAMIDI YAKIN MAMPU PERTAHAN NAIB PRESIDEN UMNO @zahid_hamidi



KUALA LUMPUR 21 Sept. - Penyandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan masa depan politiknya kepada 148,000 perwakilan dengan keyakinan mampu mempertahan jawatan itu.
Beliau berkata, sepanjang menjawat kedudukan ketiga tertinggi dalam hierarki UMNO itu, beliau secara telus berusaha bersungguh-sungguh membantu Presiden serta Timbalan Presiden memperkukuh parti dan berharap usaha tersebut dapat diteruskan.

"Dengan ini kami serahkan nasib kami kepada 148,000 perwakilan untuk menentukan masa depan kami dalam UMNO. Selaku penyandang sudah tentu kami yakin dapat mempertahankan jawatan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar bersama itu ialah dua lagi penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Terdahulu kesemua mereka menyerahkan borang pencalonan dalam pemilihan itu bulan depan melalui wakil masing-masing.

Menariknya dalam pemilihan kali ini, ketiga-tiga mereka menunjukkan kerjasama selepas saling menjadi pencadang kepada pencalonan masing-masing dan mendapat nombor giliran satu hingga tiga bagi pertandingan Naib Presiden.

Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan dakwaan wujud pakatan antara mereka sebaliknya berkata, perpaduan erat itu terpancar kerana sudah lama berkerjasama sama ada selaku penyandang jawatan mahu pun ketika dalam pimpinan kerajaan.

Dalam pada itu, ditanya tanggapan banyak pihak saingan kali ini bakal menyaksikan salah seorang penyandang kecundang, Ahmad Zahid berkata, pandangan tersebut belum pasti kerana keputusan terletak pada tangan 148,000 perwakilan.

Mengenai cabaran sengit yang bakal diberikan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir selaku calon termuda pula, beliau berkata, semua penyandang Naib Presiden berfikiran terbuka dan berlapang dada dalam menerima saingan rakan-rakan lain.

"Sebagai penyandang kami pasrah dan serahkan kepada perwakilan untuk menentukan masa depan politik kami. Namun, pendirian kami sama iaitu sesiapa juga yang masuk bertanding, mereka semua adalah sahabat kami dalam keluarga UMNO," katanya.

Sementara itu, mengulas serangan peribadi terhadap calon Naib Presiden yang mula dikesan sejak beberapa hari lalu, beliau berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dalam pemilihan parti yang berbentuk kekeluargaan.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak yang bertanding termasuk jentera serta penyokong berhenti berbuat demikian dan patuh kepada setiap kod etika pemilihan UMNO supaya tidak berlaku perpecahan dalam parti.

No comments:

Post a Comment