Kerajaan BN setuju bina jalanraya dari Sibu ke Kapit untuk rakyat Sarawak
KUCHING: Kerajaan persekutuan bersetuju memperuntukkan sejumlah RM400 juta untuk pembinaan jalan raya sepanjang 33km dari Song ke Kapit dan sebuah jambatan di Kanowit bagi menghubungkan kawasan Kapit melalui akses darat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana menteri berkata kerja tambahan itu akan disiapkan dalam masa dua tahun supaya apabila siap sepenuhnya, rakyat khasnya di pedalaman Kapit, dapat menikmati hubungan darat dari Sibu ke Kapit.
"Kemalangan bot ekspres di Belaga baru-baru ini amat menyentuh hati dan jalan dari Sibu ke Kapit perlu dilakukan dan dapat disiapkan sepenuhnya," katanya pada majlis makan malam perayaan Gawai Dayak 2013 di sini malam tadi.
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah, Menteri Kerja Raya Datuk Fadilah Yusof dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.
"Hanya di Kapit kereta menaiki tongkang untuk sampai ke Kapit dan dibawa dalam kawasan Kapit sahaja kerana tidak boleh keluar. Saya tidak tahu mana-mana tempat di dunia sedemikian rupa tetapi Kapit agak unik," katanya dan menambah perkara itu telah dibincang dengan Fadilah sebagai Menteri Kerja Raya baharu dari Sarawak.
Bagaimanapun, perdana menteri berkata keputusan untuk membina jalan raya dari Kapit ke Belaga akan dibuat selepas kajian yang sedang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya selesai memandangkan terdapat banyak pilihan lain.
Beliau turut mengumumkan 213 penumpang yang terselamat dalam kemalangan bot eskpres 'Kawan Mas' di Sungai Rajang dekat Belaga akan menerima RM1,000 seorang, hasil sumbangan RM500 masing-masing daripada Majlis Keselamatan Negara dan Gagasan Rakyat 1Malaysia.
Sumbangan itu untuk menampung kerugian barangan secara peribadi atau individu ketika kemalangan berlaku, kata Najib.
Beliau berkata kerajaan akan memberi peruntukan RM5,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia manakala tiga wira yang menyelamatkan ramai penumpang akan menerima saguhati penghargaan sebanyak RM3,000 seorang.
Ketiga-tiga wira itu yang turut hadir pada majlis berkenaan ialah Harudis Busan, 42, Naries Busan, 36, dan Kimi Tanjung, 32, kesemuanya dari rumah panjang Sekupan Panjang di Belaga.
ReplyDeleteSaya bukan org Sabah atau Sarawak tapi saya sokong kerajaan beri tumpuan yg lebih kpd masyarakat pedalaman Sabah dan Sarawak kerana sudah terbukti mereka setia menyokong BN. Jika tiada sokongan dari mereka baru-baru ini sudah tentu kerajaan tak dapat memgang teraju negara.
Harap kerajaan menggiatkan lagi pembangunan di pedalaman kedua-dua negeri itu. Menyelesaikan sehingga selesai masalah kerosakan yg ditanggung penduduk selepas insiden Lahad Datu. Juga tidak lupa utk mengatasi masalah jalanraya dan kenderaan awam dgn menambah bas-bas dan bot-bot yg canggih dan selamat utk kegunaan rakyat pedalaman Sabah dan Sarawak.
Kita terhutang budi dgn orang Sabah dan Sarawak atas kesinambungan yg ada pada hari ini.