Banner kontroversi DAP yang memalukan Mansor Othman #PG13




Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman hari ini terkejut apabila sekumpulan wartawan bertanya kenapa warna pakaian beliau berbeza dengan pemimpin pakatan pembangkang yang lain dalam kain rentang iklan ceramah umum di negeri ini.

Apabila ditunjukkan gambar itu, beliau dengan nada kecewa berkata: "Saya tak tahu siapa yang buat (kain rentang) itu dan tidak tahu siapa yang menyediakannya".

Gambar Mansor yang memakai sut hitam dalam kain rentang itu menimbulkan tanda tanya kerana ia berbeza dengan pemimpin politik yang lain seperti Ketua Menteri Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P. Ramasamy dan pemimpin PKR Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang dilihat, berwarna putih.

Pemerhati politik membuat spekulasi bahawa Mansor tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ia menjadi bahan perbualan di kalangan orang ramai apabila Mansor juga tidak hadir pada majlis ceramah rakyat Padang Kota pada 4 April lepas.

Mansor berkata beliau tidak hadir ke majlis itu kerana terpaksa menghadiri program di Kuala Lumpur dan banyak program bertindih pada minggu lepas.

Mansor sebelum ini didakwa pernah menggelar Setiausaha Agung DAP itu sebagai angkuh, sombong dan tokong dalam satu ceramahnya.

Baru-baru ini juga, Mansor dilihat terpaksa "memikul tanggungjawab" apabila diarahkan Lim untuk menjawab isu pelaburan bernilai RM3.14 bilion untuk projek Taman Elektronik Pulau Pinang di Kawasan Pembangunan Ekonomi dan Teknologi Wuhu, China yang dibongkarkan Pemuda Barisan Nasional negeri.
Lim mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai projek pelaburan itu dan ia diketuai oleh Mansor. - BERNAMA



No comments:

Post a Comment