Mengapa Guan Eng jual tanah untuk bina rumah PPR penduduk miskin ?
- Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri kesal dengan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang menjual tanah yang sepatutnya dibangunkan rumah kos rendah kepada sebuah syarikat pemaju swasta. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin berkata, pihaknya terkejut apabila mendapat tahu tanah seluas 0.45 hektar di Taman Manggis, Jalan Burmah di sini akan dibangunkan sebagai hospital swasta.
"Kita kesal kerana tanah itu sepatutnya dibangunkan untuk dibina rumah kos rendah sebanyak 272 buah bagi projek fasa kedua selepas fasa pertama sebanyak 320 unit siap beberapa tahun lalu.
"Sepatutnya bukan semua projek rumah kos rendah dibina di Batu Kawan kerana di bahagian pulau juga ada tanah yang telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong dan Ketua PPP negeri, Andrew Rajah.
Menurut Sheikh Hussein, proses penjualan telah dilakukan sejak 2010 dan berdasarkan lokasinya yang terletak di pusat bandar, pihaknya percaya nilai hartanah itu boleh mencecah RM30 juta.
"Penjualan ini membuktikan kerajaan negeri benar-benar mahu menjadikan kawasan pulau khas untuk orang kaya sahaja dan kami ingin tegaskan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bahagian pulau berhak dihuni oleh semua rakyat tanpa mengira latar belakang ekonomi mereka," ujarnya.
Sementara itu, Tong Keong memberitahu, rancangan untuk membina pusat perubatan swasta di tapak tersebut tidak akan memberi manfaat kepada golongan miskin kerana caj yang akan dikenakan sudah pasti mahal dan tidak mampu dibiayai mereka.
"Lagipun, sudah ada banyak pusat perubatan swasta di bahagian pulau dan ia mencukupi. Pergilah bina di bahagian Seberang Perai pula," katanya. "Kalau hendak bina juga, mereka perlu cari tanah swasta dan bukannya merampas tanah penduduk miskin seperti ini," jelasnya.
No comments:
Post a Comment