Usah Jual Temberang Kalau Janji Cat Rumah Pangsa Pun Tak Mampu Tunai




SARAWAK, 12 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman menyifatkan pembangkang hanya bermimpi di siang hari apabila menwar-warkan bahawa mereka berjaya memerintah empat buah negeri yang dimenangi semasa pilihan raya umum lalu.

Sambil menyifatkan manifesto pembangkang di Sarawak sebagai kertas kosong, beliau berkata pembohongan yang dilakukan terutama di Pulau Pinang cuba dilakukan sekali lagi di Sarawak.

Beliau yang kini berada di Sarawak berkata tidak perlu menilai janji pembangkang khususnya DAP yang besar-besar cukup dengan janjinya untuk mengecat semua rumah pangsa milik kerajaan negeri pun mereka tidak dapat laksanakan.

“Mereka (pakatan pembangkang) ini saudagar janji kosong. Saya ingin menarik perhatian rakyat Sarawak untuk menyelami keadaan di Pulau Pinang. Ketika pilihanraya umum lalu, mereka janji, selepas tujuh hari mereka memerintah, semua rumah pangsa milik kerajaan negeri akan di cat tetapi sehingga kini, semuanya tidak terlaksana.

“Bukan itu sahaja, saya yakin ramai yang masih ingat dengan kisah Kampung Buah Pala. Kini kampong tersebut hanya tinggal nama. Kampung itu tidak wujud lagi. Nasib penduduk kampung tersebut langsung tidak terbela”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Sambung beliau lagi kanji mereka untuk mansuhkan kutipan tol di Kampung Nyior juga tidak menjadi kenyataan, sehingga kini tol tersebut masih beroperasi.

“Mereka sibuk jual cerita kononnya sejak mereka perintah Pulau Pinang, pelaburan di negeri itu meningkat. Mereka harus sedar. Kerajaan Barisan Nasional yang telah menyediakan semuanya termasuk infrastruktur. Sebab itu pelabur masuk di Pulau Pinang. Bukan sebab usaha mereka.

“Kini mereka berjanji macam-macam di Sarawak. Antara manifesto pembangkang untuk pilihan raya negeri Sarawak adalah menyumbangkan RM200 untuk setiap anak-anak yang masuk darjah satu, memberi RM600 untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas dan lain-lain.

“Saya amat berharap rakyat Sarawak tidak tertipu dengan ini semua. Semua janji ini telah dibuat semasa pilihanraya umum 2008 lagi tetapi mereka tidak mampu tunaikan. Percayalah, mereka hanya mahu kuasa dan tidak akan mempedulikan nasib rakyat. Mereka pentingkan diri sendiri,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal seterusnya menambah di Pulau Pinang, DAP turut berjanji untuk memberi bantuan penuh kepada sekolah-sekolah tetapi sehingga kini mereka hanya memberi bantuan sebanyak RM2 juta sedangkan kerajaan pusat memberi bantuan berpuluh juta.

“Tiada apa yang boleh dibanggakan oleh rakyat Pulau Pinang sejak DAP mentadbir. Semuanya amat sulit dan rakyat menjadi mangsa,” katanya. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment