Cawangan UMNO PP tekad gempur semula kerusi DUN yang tewas




PULAU PINANG, 12 April – Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Datuk Zainal Abidin Osman yakin UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) dapat menebus kekalahan beberapa kawasan yang mereka tewas pada pilihanraya umum lalu berdasarkan respon yang diterima dari pelbagai masyarakat di negeri itu.

Jelas beliau komitmen komponen BN di negeri itu juga semakin positif untuk bersama merangka strategi terbaik bagi memenangi semula hati rakyat.

“Kita telah mendengar banyak keluh kesah rakyat yang bukan saja kecewa dengan sikap kerajaan pakatan pembangkang yang mungkir janji malah tindak tanduk mereka yang tidak membela rakyat juga semakin jelas kedengaran.

“Segala kesilapan kita telah pun kita kenalpasti dan perbaiki. Apa yang kita tumpukan sekarang ke arah persediaan jentera terutama untuk mendekati rakyat seramai mungkin untuk bersama dengan kita memulihkan semula negeri yang semakin hilang arah tuju ini”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri seterusnya memberitahu ketika ini kesemua cawangan di 13 bahagian sedang rancak mengadakan mesyuarat agung tahunan.

“Hampir kesemuanya telah bermesyuarat dan segala perancangan telah disusun rapi. Jentera pilihan raya juga telah bergerak aktif sambil dibantu oleh semua parti komponan BN.

“Saya penuh yakin, kita akan mampu menawan kembali kebanyakan kerusi yang kita tewas dahulu. Keyakinan rakyat sudah kembali kepada UMNO. Mereka tidak mahu hidup tersiksa lagi di bawah pimpinan DAP,” ujarnya.

Malah kata beliau lagi hampir kesemua cawangan yang sudah mengadakan mesyuarat masing-masing dilihat semakin bersemangat dan bertekad untuk menggempur kawasan mereka habis-habisan bagi mengembalikan semula BN ke negeri itu. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment