Saya hanya sahkan borang , bukan sokong kerajaan DAP - Jasmin
TASEK GELUGOR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed menyangkal dakwaan kononnya beliau menyokong Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) memberi sumbangan RM100 kepada warga emas, hanya dengan menandatangani satu surat permohonan bagi program itu.
Jasmin berkata, beliau hanya menurunkan tanda tangan pada surat permohonan seperti diminta penduduk kawasannya, yang memang memerlukan sokongan ADUN di kawasan pemohon tinggal.
“Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai ADUN. Ia tidak ada kena mengena dengan saya menyokong usaha mereka (Kerajaan Negeri) atau sebaliknya.
“Saya hanya mahu memastikan rakyat bawah kawasan saya dan kawasan UMNO lain juga menerima sumbangan yang sama seperti penduduk yang tinggal di kawasan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada sidang media semalam, mendakwa Jasmin menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam program sumbangan RM100 warga emas dengan menandatangani surat permohonannya.
Guan Eng berkata, Jasmin sepatutnya berasa malu dengan kenyataannya sebelum ini yang melabelkan program sumbangan RM100 warga emas sebagai rasuah.
Jasmin menjelaskan bahawa beliau hanya mengesahkan dalam surat permohonan itu bahawa penduduk terbabit adalah bawah kawasannya.
“Itu saja. Takkan itu pun dah menunjukkan saya sudah menyokong usaha mereka selama ini. Jangan cuba politikkan hal ini kerana tuntutan borang permohonan itu memerlukan tandatangan ADUN.
“Jika saya tidak tanda tangan, nanti lain pula jadinya, saya akan dikata tidak menjalankan tanggungjawab yang mana rakyat akan marah saya,” katanya.
Menurutnya, UMNO tidak pernah menghalang warga emas yang layak untuk menerima sumbangan kerana ia dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
“Tidak salah untuk menerimanya kerana ia memang duit rakyat kerana yang memberinya Kerajaan Negeri. Ia tidak timbul soal sokong atau tidak. Kita mengecamnya sebagai satu rasuah kerana mereka menggunakan perkataan ‘duit PR’ atau ‘duit DAP’. Kalau mereka menggunakan perkataan ‘duit Kerajaan Negeri’, itu bukan rasuah kerana ia memang duit rakyat dan warga emas layak untuk menerimanya,” katanya.
No comments:
Post a Comment