Ketua Pembangkang Akan Ke Persidangan DUN Nanti.

Ketua pembangkang Datuk Azhar Ibrahim akan dibenarkan semula menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 29 April ini setelah tempoh penggantungannya selama enam bulan berakhir bulan lepas.

Azhar dikenakan tindakan penggantungan enam bulan setelah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN mendapati anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Penaga itu melanggar peraturan berikutan mengeluarkan kata-kata berbau hasutan ketika berlaku pertikaman lidah dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng pada sidang DUN Mei lepas.

Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain berkata sidang DUN kali ini dijadual berlangsung selama lima hari selepas majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas Jumaat ini.

"Selepas majlis perasmian itu, sidang DUN ditangguh dan akan disambung pada hari Selasa iaitu pada 3 Mei ekoran hari Isnin adalah cuti gantian hari kelepasan am sempena Hari Pekerja," katanya kepada Bernama di George Town hari ini.

--Bernama

No comments:

Post a Comment