GEORGETOWN: Kebanyakan rakan Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pulau Pinang menyatakan rasa teruja dengan program ‘Mari Berjumpa Mari Berhubung'’ yang bakal menemukan mereka dengan pemimpin nombor satu negara itu, Sabtu ini.
Tinjauan di laman Facebook Perdana Menteri semalam mendapati ada kalangan mereka menyuarakan rasa gembira dan menyatakan harapan dapat bertemu Najib pada program dijadualkan bermula jam 6 petang di sebuah hotel di sini.
Seorang daripadanya, Talib Hamid dari Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, berharap dapat berjumpa Perdana Menteri, Sabtu ini.
“Kunjungan Datuk Seri amat kami alu-alukan demi untuk kembalikan Pulau Pinang di bawah Barisan Nasional (BN),” katanya dalam tulisannya, semalam.
Rakan lain, Nor Amin Ahmad, dari Kampung Melayu, Air Hitam, menyatakan rasa terharu apabila dijemput menyertai program berkenaan dan menganggap langkah Perdana Menteri itu sebagai usaha baik untuk mendekati rakyat.
“Inilah yang kita mahu daripada pemimpin nombor satu negara iaitu sentiasa mendekati rakyat,” katanya yang mengesahkan akan hadir pada majlis itu.
Desmond Lee pula berharap program itu berjalan lancar dan meminta lokasi perjumpaan dimaklumkan kerana beliau tidak dapat mencari maklumat berkaitan dalam blog milik Perdana Menteri.
Najib dalam blognya dipetik menyatakan rasa tidak sabar untuk berjumpa dengan rakan dalam taliannya pada program di Pulau Pinang dan mereka yang mahu membuat pendaftaran boleh berbuat demikian menerusi blog, www.1malaysia.com.my.
Ia adalah program terbaru digariskan Perdana Menteri bagi membolehkan beliau bersemuka dan berinteraksi dengan rakan Facebooknya - Berita Harian
No comments:
Post a Comment