Headlines News :
Home » , » Al Fatihah - Bekas Menteri JPM Tan Sri Abd Hamid Othman meninggal dunia

Al Fatihah - Bekas Menteri JPM Tan Sri Abd Hamid Othman meninggal dunia



Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Hamid Othman meninggal dunia Jumaat dipercayai akibat serangan angin ahmar. Beliau berusia 72 tahun.

Beliau yang bertugas sebagai Penasihat Maju Holdings Sdn Bhd meninggal dunia kira-kira pukul 4.45 petang ketika sedang menjalankan urusan kerja di pejabatnya di Maju Junction di sini.

Bernama melaporkan, pegawai peribadinya Nor Azhar Yusof berkata sebelum serangan itu, beliau kelihatan sihat dan berwatakan seperti biasa namun tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas.

"Kakitangan pejabat memanggil saya apabila melihat Allahyarham mengalami sesak nafas dan kami semua cuba memberi bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan namun lima minit kemudian Tan Sri telah tiada.

"Allahyarham mempunyai sejarah penyakit lain iaitu sakit jantung dan diabetis," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata jenazah Abdul Hamid dibawa pulang ke kediamannya di Taman Tenaga, Batu 9, Jalan Puchong dan akan dikebumikan di Puchong selepas solat Zuhur esok.

Penasihat Agung Pusat Kebajikan Wanita dan Keluarga (Kewaja) itu meninggalkan seorang isteri, Puan Seri Jamilah Mohd Said, 68, seorang anak, Wafi Nazrin dan serta lima orang cucu.

Allahyarham dilahirkan pada 21 Julai 1939 di Kampung Kemelong, Mukim Sik, Kedah pernah mengetuai Pusat Islam Malaysia di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam.

Abdul Hamid memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1995 sehingga 1999. Sebelum itu pada tahun 1990 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 2001, Abdul Hamid dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2005 hingga 2009.-23/12/2011
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger