Kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mematahkan rancangan seorang penganggur untuk melancarkan serangan bunuh diri kelmarin merupakan manifestasi kepentingan penggubalan pelbagai akta berkaitan keselamatan negara.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, adalah jelas bahawa akta-akta seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(SOSMA) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang digubal kerajaan sebelum ini amat penting.
Tegas beliau, semua undang-undang dan akta terbabit yang sebelum ini mengundang pelbagai bantahan serta pertikaian pelbagai pihak terutama parti pembangkang adalah bertujuan untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara secara keseluruhan.
“Amat jelas apa yang berlaku ini adalah satu manifestasi penting untuk kita menilai betapa perlunya undang-undang seperti SOSMA, POTA dan MKN.
“Ramai yang membantah terutamanya undang-undang MKN yang setiap kali dibentangkan di Parlimen pasti mengundang bantahan pelbagai pihak. Bayangkan bagaimana mereka yang terlibat ini menanti untuk membuat serangan termasuk ke atas negara kita andai semua undang-undang ini tiada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kejayaan polis mematahkan cubaan serangan berani mati di negara ini yang diarahkan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) dengan tertangkapnya seorang suspek di ibu negara kelmarin.
Terdahulu, Reezal Merican merasmikan majlis pecah tanah projek meroboh dan membina semula Masjid JamekPenaga.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, kesungguhan Malaysia menentang penularan fahaman radikal dan gerakan ekstremis di negara ini adalah kerana fahaman terbabit mampu merosakkan negara.
Kata beliau, Malaysia mengamalkan pendekatan wasatiyah dan rundingan secara aman damai dalam semua aspek dan disebabkan itu kerajaan serius mengekang segala bentuk ancaman yang boleh menggugat kestabilan negara.
No comments:
Post a Comment