ISU 5 ADUN PKR JATUHKAN TKM1 ADALAH PROPAGANDA POLITIK DAP - PAP
GEORGETOWN: Bekas pemimpin Melayu DAP mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sengaja memanaskan lagi isu lima wakil rakyat PKR di negeri itu demi propaganda politik DAP.
Zulkifli Mohd Noor, yang juga bekas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP mempersoalkan asas di sebalik tuduhan Guan Eng bahawa ada cubaan untuk menjatuhkan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
"Sudah ada Timbalan Ketua Menteri 1 dan 2, kemudian beliau kata ada pihak nak ambil alih jawatan Timbalan Ketua Menteri 1? (Persoalannya) Bolehkah orang Cina ambil alih jawatan Timbalan Ketua Menteri 1?
"Tak boleh. Jadi mengapa beliau katakan begitu? Maksudnya ada motif lain," kata beliau yang kini Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP).
Zulkifli mengulas tindakan lima wakil rakyat Pulau Pinang daripada PKR yang mengambil sikap berkecuali dalam usul tebus guna tanah di negeri itu, yang dibawa ke perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hujung bulan lalu.
Kesemua mereka mengambil pendirian 'conscience vote' dengan berhujah bahawa isu penambakan laut itu membabitkan kepentingan rakyat dan alam sekitar.
Lima wakil rakyat PKR itu adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Dr Norlela Ariffin (Penanti); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban).
Bagaimanapun sikap itu tidak disenangi Guan Eng yang kemudiannya menuduh ia sebagai cubaan rampasan kuasa terhadap Mohd Rashid.
Meskipun pimpinan PKR sudah memberikan penjelasan di sebalik tindakan wakil rakyat mereka, Zulkifli berkata seperti biasa Guan Eng akan tetap dengan egonya sendiri.
"Kerajaan DAP ini, jika bantah pun merupakan sebuah kerajaan yang ada telinga tetapi tak pakai. Sengaja memekakkan telinga. Mereka buat undang-undang sendiri, tafsirkan sendiri, dan sentiasa menentang undang-undang yang sedia ada," tegasnya.
Menyentuh tindakan kerajaan negeri yang tetap mahu melaksanakan projek tebus guna tanah, Zulkifli berkata banyak lagi kawasan di tanah besar boleh dibangunkan, berbanding hanya bertumpu di kawasan pulau.
"DAP buat rancangan sendiri dan mereka tak berpandu dengan apa-apa rancangan. Contohnya Penang Structure Plan yang pernah kita rancangkan dahulu pada 2008 sehingga kini tidak diluluskan lagi.
"Penambakan laut tidak sepatutnya berlaku di Pulau Pinang. Tidak ada pun bahagian di negeri ini perlu ditambak sebab Pulau Pinang ini diibaratkan sebuah kapal yang berat sebelah, yang ana daerah timur dan baratnya tidak seimbang," katanya sambil menambah segala infrastruktur dan teknologi juga mencukupi untuk pembangunan di tanah besar.
No comments:
Post a Comment