Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan pihak pembangkang yang mudah melakukan fitnah dan menafikan tindakan progresif kerajaan dalam membantu rakyat hanya ‘memakan diri'.
Beliau berkata, perkara itu terbukti apabila ada pemimpin pembangkang terpaksa membuat permohonan maaf akibat perbuatan tidak bermaruah tersebut.
Kata beliau, banyak fitnah terhadap kerajaan tersebar, malah perbuatan itu mudah dilemparkan oleh pihak pembangkang, selain mereka juga begitu cepat menafikan tindakan proaktif kerajaan dalam membantu rakyat termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang ternyata seakan-akan sama dilakukan oleh negara jiran yang maju seperti Singapura.
“Banyak fitnah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang untuk merosakkan maruah kerajaan dan diri saya, namun semua tindakan itu tidak benar dan terbaharu saya menang dalam kes fitnah melibatkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.
“Pihak pembangkang juga suka menafikan segala tindakan proaktif kerajaan dalam membantu rakyat, namun mereka akhirnya akur dengan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan termasuk pelaksanaan BR1M serta cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang ternyata banyak memberi faedah kepada orang ramai serta negara,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tri-Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup dan timbalannya, Datuk Ellron Angin.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, dalam apa jua tuduhan terutama daripada pihak pembangkang, rakyat diingatkan untuk melakukan pemeriksaan terlebih dahulu dan mendapatkan fakta tepat.
Menurut beliau, segala tindakan yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan adalah berlandaskan pertimbangan dan demi kepentingan rakyat, bukan membebankan dan menyusahkan orang ramai.
Tegas beliau, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, sudah pasti segala tindakan yang akan dilaksana oleh BN berlandaskan kepada kebajikan rakyat serta kepentingan negara.
kalau kita kaji sejarah politik kita lihat semua apa kerajaan buat seperti pembangunan putrajaya, highway dan macam macam lagi dianggap haram dan salah. Sekarang terbukti apa yang kerajaan buat mendatangkan hasil yang baik dari segi ekonomi, peluang pekerjaan, pendapatan rakyat dan kemudahan. Maka kita dapati pembangkang tak buat kerja dengan betul seperti diamanahkan. Pembangkang banyak buat kerja auta, bohong dan fitnah
ReplyDelete