PULAU PINANG 5 Sept. – DAP diselar kerana tidak berpegang kepada pendekatan kebebasan media seperti yang dicanangkan mereka selepas sekali lagi mahu bertindak terhadap akhbar Utusan Malaysia.
Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, pendekatan itu seolah-olah menjadi amalan biasa dalam pembangkang termasuk Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng yang akan menyaman media apabila tidak berpuas hati dengan liputan terhadapnya.
Katanya, sebagai ahli politik, Guan Eng perlu matang dan bertindak rasional ketika berhadapan dengan kritikan media.
“Bukan sahaja DAP, malah pemimpin Barisan Nasional (BN) juga sering dihentam media tetapi kami berlapang dada menerimanya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Elaun Sara Hidup Nelayan kepada 880 nelayan Daerah Barat Daya di sini semalam.
Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan mengulas tindakan Guan Eng yang mahu mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana tidak berpuas hati dengan laporan berhubung kehadirannya dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 hujung minggu lalu.
Mengulas lanjut, Hilmi berkata, keputusan berkenaan tidak mencerminkan apa yang diperjuangkan pakatan pembangkang iaitu kononnya mahu mewujudkan kebebasan media di negara ini.
Katanya, sikap itu mirip kepada pemimpin parti politik di Singapura yang gemar memulakan tindakan undang-undang jika tidak berpuas hati dengan media.
Sementara itu, menyentuh mengenai program hari ini, Hilmi berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sentiasa mengutamakan kebajikan nelayan.
Katanya, setiap nelayan menerima bantuan hampir RM1,000 seorang setahun meliputi elaun sara hidup, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), subsidi diesel dan inisiatif hasil tangkapan yang berjaya dinaikkan. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment