Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, UMNO pernah berdepan dengan kemelut dalaman yang lebih hebat dan dahsyat pada hujung 80-an sehingga menyaksikan Presiden UMNO ketika itu hanya menang dengan kelebihan 41 undi dalam pemilihan parti berkenaan.
Malah tambahnya, kemelut dalaman UMNO ketika itu juga menyebabkan parti itu terpaksa mewujudkan `UMNO baharu' dan kalah dengan majoriti besar ketika pilihan raya kecil di Johor Baharu.
Walau bagaimanapun kata beliau, UMNO hari ini lebih kuat meskipun turut berdepan kemelut kerana parti itu masih terus bertahan selain mendapat sokongan majoriti rakyat.
Sehubungan itu, ujar beliau, apa yang diharapkan ketika ini adalah rasa cinta dan kasih daripada seluruh ahli-ahli UMNO kepada parti berkenaan sekali gus bersama-sama berjuang memperbetulkan keadaan.
Menurut beliau, setiap ahli UMNO sama ada yang berjawatan selaku ketua, timbalan atau jawatankuasa bahagian perlu tahu bagaimana untuk membawa diri masing-masing.
“Dalam parti kena disiplin, tanggungjawab bersama, jaga kerahsiaan parti. Semuanya ada adab dan disiplinnya.
“Sebab itu bagi saya perbezaan dalam parti itu adalah rahmat jika diuruskan dengan adab dan disiplin parti,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.
Sementara itu, beliau menegaskan, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memperbetulkan segala fitnah dan salah tanggapan terhadap UMNO yang timbul dalam kalangan rakyat disebabkan kritikan tidak munasabah sesetengah pihak.
Dalam kritikan terbaharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung perbelanjaan pilihan raya umum sebanyak RM10 juta sewaktu era beliau, Najib menjelaskan, apa yang disebut bekas Presiden UMNO itu adalah tidak munasabah.
“Sebab jika diikutkan deposit untuk calon pilihan raya umum bagi 193 kawasan Parlimen ketika era Dr. Mahathir sekali pun kira-kira RM41 juta.
“Peruntukan untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak RM50,000 manakala setiap Parlimen pula RM100,000. Itu tidak termasuk perbelanjaan lain seperti bahan-bahan kempen yang sudah semestinya melebihi RM10 juta,” katanya.
Menurut Najib, beliau bersedia dikritik mana-mana pihak namun kritikan itu perlu logik, munasabah serta rasional.
“Kalau tidak ada semua perkara itu maka rosaklah kita, dan kita juga telah mengelirukan orang ramai,” katanya.
No comments:
Post a Comment