KEPALA BATAS 16 Ogos – Kehadiran lebih 7,000 penduduk di kawasan ini dalam majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas yang disempurnakan Datuk Seri Najib Tun Razak melambangkan keutuhan sokongan mereka terhadap kepemimpinan Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kehadiran cukup memberangsangkan itu memberi isyarat jelas penduduk kawasan berkenaan sentiasa bersama-sama kerajaan dalam menangani isu kemaslahatan negara.
Malah, beliau yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, kehadiran orang ramai terutama ahli-ahli UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu juga membayangkan mereka sentiasa bersama Najib selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN dalam menguruskan cabaran parti.
“Apabila diberitahu Perdana Menteri sendiri yang akan turun merasmikan persidangan bahagian ini, penduduk meminta majlisnya dibuat di kawasan lebih luas sebab mereka juga mahu beramai-ramai turut serta.
“Sebab itu hari ini menjadi sejarah dalam UMNO Kepala Batas apabila majlis perasmian persidangan kita tidak dibuat di dalam dewan selain dihadiri dua pemimpin utama UMNO iaitu Presiden dan bekas Presiden, Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian persidangan itu di sini hari ini.
Menurut Reezal Merican, Parlimen Kepala Batas kini sudah banyak berubah dan mempunyai infrastruktur yang jauh lebih baik berbanding suatu ketika dahulu.
Katanya, bandar ini layak digelar pusat pembangunan modal insan apabila banyak kemudahan ke arah itu disediakan kerajaan termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), sekolah berasrama penuh, pusat latihan kemahiran dan institusi latihan perindustrian.
Semua perubahan daripada sebuah pekan kecil yang dulunya dikelilingi ladang kelapa sawit itu, jelas beliau, adalah hasil usaha dan kesungguhan Abdullah sewaktu menjadi Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.
“Sehubungan itu, saya memikul tanggungjawab berat untuk meneruskan kelangsungan pembangunan ini dan kehadiran Perdana Menteri ke Kepala Batas hari ini memberi saya ruang untuk meneruskan usaha tersebut,” katanya.
No comments:
Post a Comment