AHLI UMNO PERLU BERSAMA & YAKINI KEWIBAWAAN PM TANGKIS SERANGAN LUAR & DALAM
TASEK GELUGOR 15 Ogos - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak diyakini mampu menghadapi serangan sama ada dari dalam atau luar parti sendiri untuk menjatuhkannya secara sistematik.
Keyakinan itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Haron yang melihat kewibawaan Najib yang juga Perdana Menteri apabila berdepan dengan cabaran selaku pemimpin nombor satu negara.
Menurutnya, kenyataan Najib yang menegaskan beliau tidak akan berganjak walau seinci dalam melawan pihak yang cuba menjatuhkannya menjadi ubat yang mujarab kepada semua ahli UMNO.
''Kita harus terima kenyataan yang cabaran terhadap UMNO dan pemimpinnya datang dari pelbagai sudut sama ada dalaman atau luaran.
''Namun, kita yakin dengan kewibawaan Perdana Menteri yang tetap teguh serta dilihat lebih kuat berbanding pemimpin sebelum ini,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tasek Gelugor di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.
Tambah Idris, beliau tidak menolak kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan wujud gerakan tersusun menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui undi tidak percaya di Parlimen.
Jelas Ketua Menteri Melaka berkenaan, apa yang utama adalah solidariti dalam kalangan ahli UMNO sendiri untuk terus teguh di belakang Perdana Menteri serta terus istiqamah berbakti kepada rakyat.
Selain itu, katanya, setiap ahli juga harus bijak menilai realiti dan menghadapi persepsi yang dibangkitkan terutama oleh pembangkang yang mahu melihat kemakmuran negara tergugat.
''Semangat solidariti yang ada harus dikekalkan agar kita dapat bersama-sama menghadapi persepsi yang dilontarkan yang mana negara sedang menghadapi krisis sedangkan realitinya adalah berbeza.
''Oleh itu, saya mahu UMNO Bahagian Tasek Gelugor hari ini menjadi contoh kepada bahagian lain untuk merampas kembali negeri ini dan ditadbir oleh Barisan Nasional (BN),'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment