Majlis Tertinggi UMNO (MT) melahirkan sokongan padu terhadap kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT di sini hari ini, Najib berkata, MT juga mahu Presiden dan Timbalan Presiden serta semua pemimpin UMNO bersatu dalam satu pasukan menangani segala cabaran dan mengambil tindakan positif untuk memperkukuhkan lagi kedudukan UMNO serta Barisan Nasional (BN) di sisi rakyat.
“Dengan keputusan ini, maka MT juga kata kalau ada isu berbangkit MT harap mereka diberi peluang untuk menyumbang idea bernas dan positif supaya sebarang isu berbangkit boleh ditangani dan diberi penyelesaian yang sewajarnya,’’ katanya.
Yang turut hadir, Muhyiddin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Dalam pada itu, Najib yang juga Perdana Menteri menghargai sumbangan idea bernas diberikan oleh Muhyiddin pada mesyuarat tersebut.
“Saya dah berjumpa hati ke hati dengan beliau pagi tadi dan saya beri pengakuan kita akan selalu bincang hati ke hati untuk pastikan bahawa kepemimpinan UMNO di peringkat pucuk pimpinan dalam keadaan selesa dan kukuh supaya tiada pihak akan pecah-belahkan kita terutama sekali saya dengan timbalan presiden.
“Jadi, kalau ada apa-apa berita angin yang tersebar sebelum mesyuarat ini, maka, kecewalah mereka yang menyebarkan berita-berita palsu tersebut,” katanya.
Najib juga memberitahu, MT UMNO turut mengambil maklum tentang isu-isu berbangkit semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dan Permatang Pauh baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment