WAN AZIZAH NAK JAGA CUCU , KAJANG ATAU PERMATANG PAUH ?




PERMATANG PAUH: ADUN Telok Ayer Tawar, Datuk Jahara Hamid mempertikaikan kemampuan calon Pakatan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekiranya menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, 7 Mei depan.

Jahara mempersoal jasa Presiden PKR itu sepanjang menjadi ADUN Kajang sejak Mac tahun lalu.

Malah Jahara turut bertanyakan mana perginya alasan Azizah sebelum ini untuk menumpukan perhatian kepada keluarganya, sehingga bertindak meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen kawasan yang sama demi memberi laluan kepada suaminya, yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Wan Azizah sekarang sudah menjadi ADUN Kajang, yang mana dahulu apabila nak beri laluan kepada Anwar beliau menggunakan alasan nak beri tumpuan kepada keluarga dan mahu jaga cucu. Tetapi sekarang, sama ada beliau nak jaga Kajang atau cucu atau nak jaga orang di Permatang Pauh pula?

"Saya nak tanya masyarakat Permatang Pauh, sepanjang Wan Azizah jadi wakil rakyat di sana, apa yang beliau telah bantu? Apakah jenis pembangunan yang ada di sana? Tidak ada," ujarnya sewaktu ditemui Antarapos, baru-baru ini.

Wan Azizah sekali lagi dipertaruhkan PKR di Permatang Pauh dengan alasan ADUN Kajang itu mampu meneruskan perjuangan dan amanat Anwar.
 
Ini bukan kali pertama Azizah menggantikan Anwar dalam pilihan raya. Azizah pernah berbuat demikian pada tahun 1999 dan menjadi wakil rakyat sehingga Julai 2008.

Kemudian beliau meletakkan jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada Anwar yang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati bersalah di atas kesalahan penyalahgunaan kuasa pada tahun 1999.

"Kalaulah Kajang itu berada bersebelahan dengan Permatang Pauh, pada saya ada praktikalnya juga. Tetapi Kajang beratus kilometer dari sini. Saya sendiri sebagai ADUN pun merasai tekanan untuk menjalankan tugas, apatah lagi jika sebagai ahli Parlimen dan presiden parti serta nenek kepada beberapa orang cucu? Sedangkan kita cuma ada 24 jam sahaja sehari," kata Jahara yang juga Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang itu.

Wan Azizah akan berhadapan saingan empat penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin, Azman Shah Othman dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon Bebas, Salleh Isahak. 

No comments:

Post a Comment