PULAU PINANG 4 Feb. - Kesedaran orang ramai untuk turut serta dalam operasi mencegah wabak denggi dan membanteras nyamuk aedes di negeri ini masih rendah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, penglibatan masyarakat dalam aktiviti gotong-royong yang dianjurkan bagi mencegah wabak berbahaya itu tidak memberansangkan.
Beliau berkata, biar pun beberapa siri gotong-royong diadakan namun hanya disertai kakitangan Jabatan Kesihatan negeri serta petugas pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Untuk itu saya menggesa orang ramai lebih banyak melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan selain mengambil masa sendiri kira-kira 10 minit seminggu untuk membersihkan kawasan persekitaran rumah masing-masing.
"Perlu diketahui nyamuk aedes mampu bergerak sehingga 200 meter jadi tiada makna jika rumah kita bersih tetapi rumah jiran masih kotor kerana denggi masih boleh merebak," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Tambah Afif, kadar kematian akibat denggi di negeri ini sepanjang Januari lalu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu apabila dua kematian dicatatkan berbanding tiada kematian tahun lalu.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan negeri dan PBT sentiasa proaktif menjalankan pelbagai operasi termasuk penyemburan asap setiap minggu serta mengadakan gotong-royong di kawasan terpilih.
"Bagi menangani masalah ini beberapa poster serta iklan juga disebarkan melalui media, malah kita turut menggerakkan kempen melalui media sosial bagi memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya.
No comments:
Post a Comment