NIBONG TEBAL 23 Feb. - Ketua Menteri, Lim Guan Eng diminta menghentikan sikap suka menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini serta menuding jari terhadap UMNO.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, setiap kali timbul isu berkaitan agama dan hubungan kaum di negeri ini, Guan Eng dengan pantas menyalahkan UMNO walaupun tidak mempunyai bukti.
"Sejak enam tahun lalu, tugas sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menjadi sangat mudah bagi Guan Eng kerana apa sahaja isu yang timbul, beliau akan mengadakan sidang akhbar dan menyalahkan UMNO.
"Beliau tidak perlu fikirkan soal pembangunan di negeri ini kerana dilakukan Kerajaan Persekutuan dan apa yang dilakukannya hanya tuding jari kepada UMNO untuk cari keuntungan politik dan pertahankan jawatannya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Zainal Abidin menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 3.0) 2014 bagi Parlimen Nibong Tebal membabitkan kira-kira 14,000 penerima.
Zainal mengulas kenyataan Guan Eng menerusi Twitternya mendakwa laporan yang tersebar di internet mengenai Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu memansuhkan khutbah Jumaat sebagai fitnah jahat UMNO.
Beberapa blog sebelum ini menyiarkan artikel bertajuk Penang Pertimbang Untuk Haramkan Khutbah Jumaat yang memetik kenyataan beberapa pemimpin DAP yang menganggap kandungan khutbah Jumaat bertentangan dengan semangat antara kaum dan agama.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, beliau kesal dengan sikap Guan Eng yang masih menganggap beliau hanya Ketua Menteri untuk penyokongnya sahaja sedangkan negeri ini mempunyai lebih 200,000 ahli UMNO dengan sokongan hampir 1 juta orang.
"Isunya sekarang mengapa beliau dan Exco yang bertanggungjawab dalam soal agama tidak membuat laporan polis sekiranya dakwaan memansuhkan khutbah Jumaat di negeri ini tidak berasas,'' jelasnya.
"Apabila perkara ini dibangkitkan, sudah pasti menimbulkan keresahan kepada umat Islam kerana khutbah Jumaat merupakan perkara wajib dan tidak sah jika tidak dibacakan," katanya.
Menurutnya, sejak tahun 1970-an hingga 2008, isu agama dan kaum di negeri ini tidak pernah dibangkitkan dan perkara terbabit menjadi ketara sejak akhir-akhir ini sekali gus meresahkan rakyat - UM
No comments:
Post a Comment