ISU KANGKUNG DIJAJA PEMBANGKANG UNTUK TUTUP ISU PENUTUPAN GIAT MARA





 Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib UMNO Perak mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap pemimpin pembangkang yang menyumbat masuk sayur kangkung ke mulut replika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib memberitahu, perbuatan itu telah dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dilihat bertujuan untuk menghina Perdana Menteri.

 "Tindakan wakil rakyat pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini merupakan satu perbuatan tidak bertamadun.

 "Malah, ia langsung tidak mencerminkan pentadbiran negara yang demokratik “Tindakannya menyumbat sayur kangkung ke dalam mulut replika Perdana Menteri begitu biadap.

 "Beliau seolah-olah tidak menghormati pemimpin tersebut yang sepatutnya dihormati rakyat” katanya.

Tambahnya lagi, Perdana Menteri telah dipilih sendiri oleh rakyat dalam pilihan raya yang lepas dan semua pemimpin politik seharusnya menghormati keputusan tersebut. Malah katanya, isu remeh temeh seperti itu boleh meruntuhkan kredibiliti pemimpin.

 Selain itu jelas beliau, masyarakat di luar sana pasti akan hilang rasa hormat terhadap negara.

"Saya hairan, mengapa sumbangan bantuan banjir yang disampaikan kerajaan kepada mangsa banjir di Terengganu yang mencecah RM77 juta tidak diketengahkan tetapi soal penurunan harga sayur ‘kangkung’ yang dijadikan sebagai contoh dalam ucapan Perdana Menteri pula digembar-gemburkan pihak pembangkang.

 "Isu kangkung ini telah dijadikan bahan politik untuk mengaburi permasalahan pentadbiran pembangkang seperti isu hutan di Gua Musang yang telah diterokai hingga menindas kaum Orang Asli di sana dan juga isu penutupan Pusat Giat Mara di Selangor," katanya pada sidang media, pagi tadi.

Ujarnya lagi, persoalan mengenai isu kangkung tersebut sengaja diperbesarkan dan seharusnya pemimpin politik lebih khusus kepada menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat mengenai kenaikan harga barangan. “Isu kenaikan harga barang boleh dikaitkan dengan dalang orang tengah yang berjaya menangguk di air keruh dan kerajaan pula tidak berdiam diri sahaja mengenai soal itu apabila satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk mengkaji soal kenaikan harga barang yang membebankan rakyat,” jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment