GUAN ENG & DAP JANGAN CUBA MAIN POLITIK LIDAH BERCABANG - REEZAL



KUALA LUMPUR 8 Jan. - DAP dan Setiausaha Agungnya yang belum disahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS), Lim Guan Eng, digesa berhenti bermain politik lidah bercabang serta menjadi 'api dalam sekam' kepada perpaduan nasional khususnya dalam isu gereja dan kalimah Allah.

Rentetan tindakan DAP kebelakangan ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mempersoal Guan Eng, apakah parti itu sedang merancang untuk menolak kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sebagaimana dijamin Perkara 3.

Selain itu, beliau juga mempersoal apakah DAP sedang berusaha menidakkan kuasa yang ada pada Raja-Raja Melayu untuk meletakkan martabat agama Islam bersesuaian dengan kedudukannya mengikut Perlembagaan Persekutuan apabila berterusan mempolitikkan isu kalimah Allah.

"Guan Eng perlu jelaskan kepada rakyat apakah DAP bersetuju dengan tindakan pihak-pihak tertentu untuk terus menguji peruntukan undang-undang sehingga memperlihat sengaja mahu menidakkan kedaulatan undang-undang yang ada di dalam negara ini.
"Apakah DAP sudah tidak lagi menghormati Perlembagaan Persekutuan? Sedangkan matlamat parti tersebut secara khusus menyebut berjuang mengikut Perlembagaan dalam menjayakan matlamat politik mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini umat Islam dikejutkan dengan kenyataan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew dalam laporan sebuah portal berita tetap berkeras mahu terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya di semua gereja di Selangor.

Tidak lama selepas itu, beberapa pihak termasuk pemimpin DAP membantah tindakan JAIS merampas 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban mengandungi kalimah Allah dalam serbuan berkenaan.

Bantahan itu juga membawa kepada cadangan daripada tiga wakil rakyat DAP yang mahu Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dipinda.

Mengulas lanjut, Reezal Merican juga menimbulkan persoalan sama ada tindakan DAP yang dilihat untuk mencabar kedaulatan undang-undang, menidakkan kuasa Raja-Raja Melayu mendapat 'lampu hijau' rakan di dalam pakatan pembangkang.

"Adakah DAP yakin Pas bersependapat dengan mereka dalam isu kalimah Allah dan tindakan JAIS,"soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoal tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang kononnya menyuarakan tentang kepentingan mencapai semangat 'perpaduan nasional' dengan mengetengahkan idea pelan induk dalam membina perpaduan sedangkan perkara itu tidak pernah dijiwai oleh Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Saya ingin menasihatkan DAP agar tidak bersandiwara di dalam isu yang penting dan mustahak ini. Sebaliknya mereka wajar menunjukkan warna sebenar politik mereka dengan tidak terus bermain dengan ayat-ayat retorik tetapi bertindak sebagai batu api.

"Kit Siang seharusnya terlebih dahulu memberikan tunjuk ajar kepada Guan Eng untuk menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan menghormati undang-undang dan jangan bercakap seperti 'lidah biawak' kononnya ingin melihat kejayaan perpaduan nasional sedangkan perkara itu tidak ada di dalam 'genetik' politik parti mereka," ujarnya.


No comments:

Post a Comment