UMNO IKTIRAF MAHASISWA , BERI PELUANG WAKIL BAHAS USUL #PAU2013



KUALA LUMPUR 1 Dis. - UMNO terus mengekalkan momentum transformasinya apabila memberi peluang kepada tiga wakil mahasiswa membahaskan usul pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.

Tiga wakil mahasiswa itu terdiri daripada dua wakil yang akan membahaskan usul itu pada persidangan sayap Pemuda dan Puteri sementara seorang lagi pada perhimpunan agung.
Langkah tersebut dilihat sebagai penambahbaikan kerana sebelum ini hanya seorang wakil mahasiswa iaitu dari Kelab UMNO Luar Negara diberi peluang membahaskan usul.

Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, perkara itu sudah mendapat persetujuan Setiausaha Agung parti dan Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Menurut beliau, satu jawatankuasa kecil akan dibentuk di peringkat biro itu bagi memilih wakil mahasiswa dan mengkaji usul sesuai untuk dibawa ke perhimpunan agung dan persidangan sayap.

"Hari ini kita menerima 36 usul daripada mahasiswa menerusi Persidangan Mahasiswa Nasional (Pemanas 2013). Usul-usul ini membabitkan usul ekonomi, politik, pendidikan dan agama.

"Kesemua usul ini nanti akan dikaji, kemudian tiga wakil yang dipertanggungjawabkan itu akan membahaskannya pada perhimpunan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment