- Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan menilai semula semua cadangan yang akan memberi kesan buruk kepada rakyat khususnya warga kota yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Exco Pergerakan itu, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, penilaian semula yang paling utama sekarang ialah mengenai cadangan menaikkan kadar tambang transit aliran ringan (LRT) dan tol di beberapa lebuh raya terutama di Lembah Klang.
''Kerisauan rakyat terhadap kenaikan tarif elektrik yang dicadangkan pada awal tahun hadapan belum lagi berakhir tetapi sudah ada cadangan mahu menaikkan tambang LRT dan kadar tol,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nazir yang juga Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar dan Perumahan pergerakan itu berkata, cadangan itu umpama jerat untuk pengguna terutama dalam kalangan warga kota yang sudah terbeban dengan kos sara hidup.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berhubung kedua-dua cadangan tersebut.
Katanya, cadangan kenaikan kadar tambang dan tol itu merupakan satu lagi siri kenaikan selepas kenaikan harga petrol, diesel, gula serta cadangan kenaikan tarif elektrik pada tahun depan.
''Ini belum lagi kenaikan barang-barang keperluan harian dan makanan,'' katanya.
Nazir turut mengingatkan kerajaan bahawa siri kenaikan tersebut hanya akan menjadi penyebab keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis dan bakal memberi modal politik kepada parti pembangkang.
Katanya, sekiranya kadar tol dinaikkan, ia bakal menjadi penyebab utama kenaikan harga barang keperluan lain atas alasan peningkatan kos logistik serta tiada lagi alasan untuk tidak meluluskan kenaikan tambang pengangkutan awam.
Menurut Nazir, pihak kerajaan sepatutnya meminta supaya syarikat konsesi lebuh raya lebih peka terhadap peranan memberi sumbangan kepada rakyat dan bukan hanya fokus kepada mengaut keuntungan semata-mata.
''Jika dilihat pertambahan jumlah kenderaan khususnya di Lembah Klang yang menggunakan lebuh raya tersebut dalam tempoh dua hingga lima tahun ini, sudah tentu memberi pulangan serta keuntungan yang lebih dari sepatutnya,'' katanya.
Beliau mengakui rakyat secara umumnya faham keperluan kenaikan tersebut tetapi kos sara hidup dan bebanan yang sedia ada ditanggung adalah tinggi menyebabkan siri kenaikan ini bakal memberi tamparan hebat kepada mereka.
Pengguna, menurut beliau, lebih gemar untuk mendengar berita gembira daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya berkaitan dengan kadar tol selepas pilihan raya umum lalu.
''Malangnya, mereka dihidangkan berita yang amat mengejutkan dan sudah tentu ini akan menjadi modal pembangkang yang telah menjanjikan penghapusan tol dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mereka,'' katanya.
No comments:
Post a Comment