PULAU PINANG 5 Dis. - Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) menyelar tindakan pemaju perumahan yang mengenakan bayaran tambahan kepada pembeli rumah pangsa kos sederhana di Jalan Permai, Bukit Gambir di sini dengan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai melampau dan menekan rakyat berpendapatan rendah.
Presidennya, Rahmad Isahak berkata, pemaju sepatutnya lebih prihatin dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan tidak seharusnya mementingkan keuntungan semata-mata.
Katanya, apa yang berlaku itu jelas menunjukkan pemaju hanya memberi keutamaan kepada keuntungan semata-mata, tanpa mengambil kira kepentingan golongan pembeli, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.
"Siapa yang beri kebenaran kepada pihak pemaju untuk membuat kerja-kerja tambahan ke atas unit-unit rumah berkenaan, sedangkan itu adalah perumahan kos sederhana yang harganya di bawah ketetapan kerajaan negeri?
"Adakah pemaju telah mendapatkan kelulusan pelan bangunan tentang kerja-kerja pengubahsuaian tersebut terlebih dahulu? Sekiranya sudah, atas kriteria apa pelan berkenaan diluluskan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)?" katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kelmarin, kira-kira 150 pembeli rumah kos sederhana di Jalan Permai, Bukit Gambir di sini meluahkan rasa kecewa mereka selepas diminta membuat bayaran tambahan oleh pihak pemaju sebanyak RM59,000 sebagai bayaran kos ubah suai yang telah dilakukan pihak pemaju tanpa pengetahuan mereka.
Rahmad berkata, jika pelan pengubahsuaian berkenaan mendapat kelulusan ia adalah sama seperti menggalakkan pihak pemaju mengenakan bayaran atau caj tambahan kepada pembeli.
"Cuba bayangkan apabila pembeli yang berpendapatan rendah ini terperangkap dalam keadaan tersebut apabila harga rumah yang dibeli tiba-tiba melambung daripada RM72,500 kepada hampir RM160,000.
"Adakah situasi seperti ini benar-benar membantu, khususnya golongan bumiputera untuk memiliki seunit rumah kos rendah mahupun kos sederhana rendah di negeri ini?" soalnya.
Katanya, tidak dapat dinafikan jika gejala seperti itu tidak disekat, maka akan ramai pembeli terpaksa membatalkan hasrat mereka untuk membeli rumah kerana gagal mendapatkan pinjaman bank atau pinjaman daripada kerajaan untuk menampung kos tambahan yang dikenakan.
"Oleh itu KMPP mahu Exco Perumahan negeri segera menyiasat aduan pembeli terbabit supaya kepentingan dan hak mereka tidak dinafikan sewenang-wenangnya.
"Jika terbukti wujud pelanggaran syarat penjualan unit-unit rumah berkenaan, maka adalah munasabah sekiranya permohonan pemaju terbabit mendapatkan Sijil Kelayakan Menduduki (CF) ditangguhkan sehingga masalah penindasan terhadap pembeli terbabit diselesaikan," katanya.
No comments:
Post a Comment