SEMANGAT ORANG UMNO P.PINANG MASIH KUAT & TAK LUNTUR - ZAINAL ABIDIN
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata walaupun Barisan Nasional (BN) masih gagal menawan negeri itu pada pilihan raya umum lalu namun prestasi yang dicapai UMNO cukup memberangsangkan di mana UMNO mencapai kemenangan 2/3 daripada kerusi yang ditandingi.
Jelasnya walaupun diasak hebat dengan serangan-serangan politik propaganda fitnah pembangkang yang diketuai kerajaan negeri DAP namun UMNO masih mampu bertahan malah mengambil semula Parlimen Balik Pulau.
Ternyata semangat ahli-ahli UMNO ini tambah beliau lagi diterjemahkan menerusi mesyuarat-mesyuarat cawangan di mana 92 peratus daripada 664 cawangan di negeri ini telah berjaya melaksanakan mesyuarat cawangan masing-masing dengan jayanya.
"Walaupun kita kalah tapi di Pulau Pinang UMNO terus kukuh. Ini terbukti apabila UMNO masih mampu mengekalkan 13 kerusi yang kita menang malah jika dahulu kita hanya menang dua kerusi untuk parlimen tetapi kali ini kita tambah satu kerusi.
Pertambahan ini amat bermakna. "Daripada 15 kerusi yang UMNO pertandingkan, kita menang 2/3 daripada jumlah tersebut. Kalaulah Pulau Pinang ini ada jumlah yang sama seperti di negeri lain, mungkin kita akan dapat 2/3 juga.
Namun yang menjadi kegagalan kita apabila parti komponen tidak menyumbang sebarang kerusi yang menyebabkan kita gagal menawan Pulau Pinang.
"Selepas ini sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan parti komponen bergerak seiring dengan UMNO agar BN terus kukuh dan mampu menang di masa hadapan," ujarnya dalam satu temubual ekslusif bersama UMNO-Online.
No comments:
Post a Comment