PULAU PINANG 10 Nov. - Hasrat Koay Ping, 40, memulakan hidup baharu dengan berniaga secara kecil-kecilan sejak tiga bulan lalu musnah apabila barang niaga miliknya 'dirampas' Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
Kejadian berlaku pada 8 September lalu ketika dia tiada di tapak niaga yang terletak di Lorong Ipoh, Jelutong di sini.
Ketika itu, kesemua barangan tersebut dijaga oleh pekerjanya.
Menurutnya, sebaik kembali ke situ, dia terkejut apabila diberitahu pekerjanya yang barangannya telah diambil kakitangan Bahagian Pelesenan MPPP tanpa sebarang notis atau surat amaran.
"Apa yang menghairankan tindakan tersebut dilakukan oleh Bahagian Pelesenan MPPP, bukannya Bahagian Penguatkuasaan.
"Kejadian ini amat mengecewakan kerana ternyata berlaku salah guna kuasa dan saya mahu MPPP memberi penjelasan dan bertanggungjawab terhadap perkara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Koay Ping menambah, empat hari kemudian dia ke pejabat Bahagian Penguat Kuasaan MPPP namun terkejut apabila dimaklumkan barangan miliknya tiada di situ.
Dia juga mendakwa, kakitangan MPPP di bahagian berkenaan memaklumkan tindakan tersebut berkemungkinan dibuat berikutan Koay Ping dikategorikan sebagai warga asing sekali gus tidak layak berniaga di situ.
Dia kemudiannya membuat laporan polis bagi mendapatkan semula barangannya dan mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM5,000 apabila barang niaga miliknya berupa barangan kulit dan am 'hilang'.
Koay Ping juga menulis surat pada 26 September lalu kepada Pengarah Pelesenan MPPP bagi mendapatkan penjelasan tetapi sehingga kini masih belum ada maklum balas.
Sehubungan itu, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap MPPP jika isu tersebut gagal diselesaikan.
Seorang lagi penjaja, Ho Boon Huat, 62, turut mengalami nasib sama seperti Koay Ping.
Boon Huat mendakwa Bahagian Pelesenan MPPP 'merampas' barang niaganya pada 26 Oktober lalu atas alasan sama iaitu dia merupakan warga asing dari China.
Katanya, sejak kebelakangan ini, kira-kira 10 peniaga lain di situ turut menerima nasib sama seperti mereka yang mana barangan 'dirampas' oleh Bahagian Pelesenan MPPP tanpa alasan munasabah.
"Saya berniaga di sini sejak lima tahun lalu dan kini saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan lain untuk sara hidup," ujarnya.
Sementara itu, difahamkan, Bahagian Pelesenan MPPP akan mengadakan sidang akhbar esok bagi memberi penjelasan berhubung tindakan tersebut.
Jgn percaya tactic penipu cina. Pre-staged utk some future malicious intentions. Dah tua nak mampos baru bukak bizness 3bln?
ReplyDelete