Saya menyambut baik dan mengalu-alukan keputusan Lembaga Disiplin UMNO, yang membenarkan calon-calon bertanding dalam pemilihan parti kali ini untuk berkempen secara terbuka.
Beberapa pemimpin parti dan saya sendiri sebelum ini konsisten berpandangan bahawa syarat pemilihan termasuk kekangan berkempen yang ketat tidak memberi peluang sama rata kepada calon-calon yang kurang dikenali.
Tahniah diucapkan kepada Lembaga Disiplin parti yang amat responsif dengan keluhan calon-calon bertanding dan ini menunjukkan UMNO sentiasa mengamalkan prinsip keterbukaan serta demokrasi.
Suka saya mengingatkan bahawa kelonggaran ini tidak bermakna calon bertanding boleh menyalahi Tataetika Pemilihan dengan amalan negatif seperti mencerca dan menfitnah calon lain atau mengamalkan politik wang.
YB KHAIRY JAMALUDDIN
KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA
KUALA LUMPUR 6 Okt. - Keluhan ahli UMNO terhadap syarat kempen pemilihan parti yang terlalu ketat mendapat respons daripada Lembaga Disiplin parti apabila mengesahkan calon-calon boleh berkempen secara terbuka asalkan tidak keterlaluan dan terlalu ekstrem.
Pemangku Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, calon-calon boleh berkempen untuk memperkenalkan diri serta visi dan misi yang hendak mereka utarakan kepada para perwakilan yang mengundi asalkan tidak mencerca serta memburuk-burukkan peribadi pesaing mereka.
"Memang peraturan dan garis panduan yang ditetapkan dalam Tata Etika parti tidak boleh dilonggarkan. Tetapi sebenarnya kalau nak berkempen dengan cara memperkenalkan diri, bagi visi dan misi, itu boleh.
"Jangan sesekali gunakan wang...jangan, jangan. Itu perhatian berat yang ditekankan oleh Lembaga Disiplin.
"Jangan keterlaluan dan ekstrem sangat. Jamuan jangan buat, kalau berlaku, maknanya hanya orang kaya sahaja yang boleh bertanding. Kita tak nak membazir duit sebab rakyat sedang teliti perlakuan kita," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas kritikan dua pemimpin UMNO semalam terhadap tindakan jawatankuasa pemilihan parti meletakkan pelbagai peraturan kepada calon bertanding di peringkat bahagian dan Pusat yang dilihat sebagai tidak munasabah.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd. Samad menyifatkan tindakan sedemikian sebagai satu sekatan dan tidak matang.
Beliau menegaskan, apabila seseorang menawarkan diri bertanding merebut sesuatu jawatan di dalam politik, maka dia perlu berkempen untuk memperkenalkan diri kepada perwakilan.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula menganggap syarat-syarat terlalu ketat dalam pemilihan menyebabkan gelanggang pertandingan menjadi tidak seimbang dan menguntungkan sebelah pihak sahaja.
Megat Najmuddin mengingatkan sebagai satu keluarga besar dalam UMNO, seluruh 3.4 juta ahli terutama lebih 30,000 calon serta 146,500 perwakilan yang mengundi harus faham sekiranya mereka membawa perangai yang teruk, UMNO juga akhirnya yang rugi.
"Tanggapan orang dan persepsi politik ini penting. Apa sahaja yang ahli dan pemimpin UMNO buat, orang (rakyat) akan teliti kelakuan dan percakapan kita. Bukan senang nak dapat kepercayaan rakyat. Itu rasionalnya (garis panduan dalam tata etika UMNO itu)," jelasnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Lembaga Disiplin akan menyiasat seadil-adilnya segala dakwaan atau aduan salah laku calon semasa pemilihan parti yang dilaporkan kepada badan tersebut.
"Kalau ada laporan, kita siasat. Kita ada badan penyiasat yang merupakan bekas polis, perisik tentera dan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Pengadu mesti ada bukti sahih dan saksi-saksi yang meyakinkan. Kita tak nak sengaja nak pekena sahaja. Kita tak nak aibkan orang. Kita kena siasat laporan itu, tidak boleh serkap jarang sahaja," katanya.
No comments:
Post a Comment