DAP GAGAL JADI PARTI UNTUK BERBILANG KAUM - KHAIRY




ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendakwa DAP gagal melaksanakan dasar keanggotan berbilang kaum walaupun sering menguar-uarkan perkara itu.

Khairy dalam laporan Berita Harian mendakwa ramai meragui keikhlasan DAP memperjuangkan nasib orang Melayu, seperti sikap yang ditunjukkan oleh timbalan presiden  Kongres Melayu Pulau Pinang Rahmad Isahak.

Rahmad bertindak keluar parti pada hari Sabtu lalu atas alasan hilang kepercayaan ke atas DAP dalam memperjuangkan nasib Melayu.

"Mereka selalu menuduh Umno parti Melayu, memang kita (Umno) parti Melayu dan tidak pernah menyatakan Umno sebuah parti berbilang kaum, tetapi DAP yang mendakwa mereka parti untuk semua, gagal melaksanakan dasar berkenaan.

"DAP perlu tanya diri mereka kenapa orang Melayu tidak mahu sertai parti itu sedangkan DAP sudah wujud sekian lama, namun tidak ada bilangan besar dalam kalangan ahli Melayu," kata Khairy seperti yang dilapor Berita Harian hari ini.

Sementara itu, Utusan Malaysia hari ini pula melaporkan, Khairy berkata pemilihan Umno lebih terbuka dan demokratik berbanding pembangkang yang didakwanya sekadar melaungkan keterbukaan tetapi tidak berani memberi kuasa kepada akar umbi untuk memilih kepimpinan.

"Kita lihat sendiri DAP yang dalam namanya ada perkataan demokratik tetapi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sendiri dibatalkan.

"PKR pula ketua umumnya yang dilantik langsung tidak dipilih oleh parti secara demokrasi, begitu juga PAS di mana kuasa utama ada pada mursyidul amnya.

"Jadi apa yang dimaksudkan oleh demokrasi pada mereka?" kata Khairy seperti dipetik akhbar tersebut hari ini.

Dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semalam, kesemua 20 anggota yang dipilih dalam pertandingan pada Disember lalu mengekalkan keanggotaan dalam jawatankuasa itu. 

MP Kluang Liew Chin Tong memperolehi undi tertinggi dengan 1,438 undi dan satu-satunya anggota CEC Melayu, Zairil Khir Johari memperbaiki kedudukannya ke tempat ke-12 dengan 1,132 undi, berbanding kedudukan ke-20 sebelum ini.

No comments:

Post a Comment