BARISAN MT UMNO PERLU RAMAI PEMIMPIN MUDA UNTUK HADAPI PRU14 - RAZALI


KUALA LUMPUR - Umno memerlukan lebih ramai pemimpin muda menganggotai barisan kepimpinan Majlis Tertinggi bagi menghadapi realiti dan landskap politik semasa, kata Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim.
   
Beliau berkata pemilihan lebih ramai pemimpin muda dapat menyediakan Umno untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 dan menyaingi parti lawan yang banyak membariskan pemimpin muda.
   
"Berkongsi pengalaman dengan pemimpin lama dan idea segar daripada pemimpin muda sudah tentunya dapat menterjemahkan konsep meremajakan parti sekali gus mampu meraih sokongan rakyat kepada Umno," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
   
Razali percaya para perwakilan akan memberi ruang kepada pemimpin muda untuk membarisi kepimpinan parti bagi membolehkan Umno terus segar dan relevan, selain mewujudkan gandingan pemimpin lama dan baharu bagi memastikan keseimbangan landskap politik hari ini.
   
Beliau berkata demikian sebagai mengulas peluang pemimpin muda membarisi Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan Sabtu ini yang melibatkan 71 calon yang bertanding jawatan Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan anggota Majlis Tertinggi.
   
Jawatan Pengerusi Tetap yang disandang Tan Sri Badruddin Amiruldin, Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin diumumkan menang tanpa bertanding.
   
Sabtu ini, 144,297 perwakilan Umno di seluruh negara akan menentukan pucuk pimpinan parti di peringkat bahagian dan pusat secara serentak. - Bernama

No comments:

Post a Comment