BUTTERWORTH 17 Sept. - Majlis dialog antara Islam dan Kristian anjuran Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa di sebuah restoran di Jalan Kampung Benggali di sini malam tadi kecoh apabila pemiliknya menghalau penganjur dan para peserta program berkenaan.
Pemilik premis makanan itu yang merupakan seorang wanita mendakwa dirinya ditipu kerana tidak dimaklumkan tentang tujuan sebenar orang ramai berkumpul di situ.
Dialog tersebut pada mulanya dijadual berlangsung di sebuah gereja yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ tetapi diubah lokasi pada saat-saat akhir oleh penganjur bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Ketika Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar dan isterinya, Datin Zuraida Husin tiba pada kira-kira pukul 9 malam, wanita berkenaan dilihat meninggikan suara dan meminta penganjur mengosongkan tempat berkenaan menyebabkan beberapa peserta berang dan menyifatkan tindakannya sebagai biadab.
Keadaan itu memaksa penganjur kembali ke lokasi asal penganjuran iaitu Gereja St. Mark.
Di luar gereja pula, kira-kira 40 anggota polis dilihat berkawal bagi mengawal keselamatan.
Sebelum ini, majlis berkenaan mendapat bantahan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri ini yang membuat laporan polis kerana bimbang ada pihak tertentu menggunakan dialog tersebut untuk agenda politik sehingga sanggup menggadaikan maruah Islam.
Sementara itu, Mujahid dalam sidang akhbar selepas dialog berkenaan mempersoalkan saranan beberapa NGO yang mendesaknya mendapat keizinan Majlis Raja-Raja Melayu terlebih dahulu sebelum menganjurkan majlis tersebut.
Mujahid mendakwa, penganjuran itu bertujuan melihat wujud perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, justeru tidak perlu mendapat keizinan Majlis Raja-Raja Melayu.
"Dalam negara sudah lebih 50 tahun merdeka, apabila hendak bercakap mengenai Islam, kenapa kita kena minta izin? Saya bercakap sebagai seorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, bukannya di kedai kopi.
"Jika saya dikatakan tidak layak untuk anjurkan program sebegini, mereka harus berbuat demikian dengan membawa individu yang dirasakan layak,'' katanya.
Yang turut hadir paderi gereja berkenaan, Father John Kennedy bersama kira-kira 40 peserta.
Dalam majlis itu, Mujahid turut melancarkan buku terbaharu hasil penulisannya berjudul Berdialog Dengan Gereja - Sebuah Travelog Kedamaian.
Mengulas lanjut, Mujahid memberitahu, beliau telah mengunjungi lebih 20 gereja di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dan menegaskan dialog seumpama itu perlu diteruskan.
"Saya datang ke sini bukan hendak membeli atau menjual agama. Adakah selepas mengunjungi lebih 20 buah gereja, saya menjadi kurang arif mengenai Islam,'' katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau akan mengusulkan kepada pimpinan tertinggi Pas supaya mengadakan dialog berkenaan dengan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang bukan beragama Islam kerana mengetuai cabang perpaduan dalam parti itu, beliau berkata, perkara berkenaan tidak perlu.
bodoh punya PAS buatlah kat rumah sendiri, bikin kecoh
ReplyDelete