Pakatan cabar keputusan PRU13 bukti manusia hipokrit - Musa


Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir mencabar ke semua pemimpin pembangkang untuk meletak jawatan dan membubarkan kerajaan negeri milik mereka berikutan mengemukakan writ saman memohon pembatalan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.
Ujarnya, pembangkang seharusnya bersikap ‘gentleman’ sekiranya benar mahu mencabar keputusan PRU-13.

 “Mereka harus letak jawatan… Jangan angkat sumpah. Baru mereka boleh saman SPR. Jika mereka tidak mahu letak jawatan, maka mereka sebenarnya hanya bersandiwara untuk terus menipu rakyat.


“Pembangkang ini terdiri daripada manusia yang penuh hipokrit. Mereka sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan politik mereka. Mereka menganggap rakyat terlalu bodoh dan senang diperkotak katikkan.

“Mereka pertikai keputusan PRU-13 tetapi mengapa mereka tidak pertikai keputusan untuk negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Sampai bila mereka hendak menipu,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Musa, pembangkang juga seharusnya membersihkan diri dan parti mereka sebelum menuding jari menuduh SPR.

“Sedar atau tidak, mereka menuduh SPR tidak telus tetapi apa jadi dengan pemilihan CEC di Pulau Pinang. Sehingga kini mereka tidak mampu member penjelasan. Mereka ini ibarat meludah ke langit akhirnya terkena muka sendiri.
“Saya nasihatkan agar mereka melihat cermin terlebih dahulu sebelum terus membantah keputusan PRU-13. Belajarlah untuk terima suara rakyat negara ini yang mahu BN terus memerintah. Mereka sebenarnya tahu kebenaran dan tahu bahawa SPR telah melakukan yang terbaik tetapi sudah menjadi habit mereka yang suka menipu,” jelasnya lagi. – MediaUMNO

No comments:

Post a Comment