MAHSUH SESI SOAL JAWAB TAK IKUT PERATURAN SIDANG DUN - HILMI
PULAU PINANG 5 Julai - Tindakan memansuhkan sesi soal jawab dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini berkemungkinan tidak sah kerana tidak mengikut peraturan ditetapkan.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, sebelum ini mana-mana keputusan yang hendak dibuat perlu mendapat persetujuan dewan terlebih dahulu dan bukan dilaksanakan tanpa dibincangkan ahli-ahlinya.
Menurutnya, berdasarkan peraturan dewan, perlu ada pihak yang membuat usul cadangan diikuti usul menyokong seterusnya dibuka kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membuat keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya.
"Kalau nak sambung masa pun kena dapat usul dahulu, kemudian dibuat keputusan oleh dewan.
"Apa yang Speaker baharu itu buat tidak betul. Perjalanan, peraturan sudah tidak diikuti. Sama ada sidang sah atau tidak, itu tidak pasti tetapi sejak hari pertama lagi sudah tidak ikut peraturan," katanya.
Beliau ditemui pemberita dalam majlis penyampaian sumbangan amal jariah dan pengimarahan masjid sempena Ramadan di sini hari ini.
Kelmarin Speaker DUN, Law Choo Kiang mengumumkan tiada sesi soal jawab dalam sidang kali ini sebaliknya hanya meneruskan persidangan dengan sesi membahas ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.
Keputusan itu mencetuskan kekecohan selepas Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid menyifatkan demokrasi telah 'dibunuh' dalam DUN berikutan Kerajaan DAP Pulau Pinang mempunyai kuasa mutlak.
Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan memberitahu, sepanjang empat penggal beliau menjadi wakil rakyat, tidak pernah perkara sedemikian berlaku.
Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng memohon maaf terhadap 'kesilapan' memansuhkan sesi soal jawab dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini yang mencetuskan kekecohan Selasa lalu.
No comments:
Post a Comment