GEORGE TOWN, 17 Jun – Pemuda UMNO Pulau Pinang memuji kecekapan pasukan mencari dan menyelamat ketika melaksanakan tugas mereka dalam kejadian penebat kilat runtuh di Jalan Macalister, di sini Khamis lepas.
Ketuanya Dr Shaikh Hussein Mydin berkata mereka yang meliputi anggota bomba dan penyelamat, polis, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan pekerja binaan telah melaksanakan tugas dengan baik berdasarkan piawaian kerja yang ditetapkan.
“Justeru tidak adil sekiranya (ada) kata pasukan mencari dan menyelamat ini lambat buat kerja, beri mereka ruang untuk menyiapkan semua kerja mereka,” katanya selepas meninjau kawasan kejadian, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng mendakwa pasukan mencari dan menyelamat terbabit lambat dalam menjalankan kerja-kerja terbabit.
Mengulas lanjut, Shaikh Hussein berkata setiap perkara yang dilakukan pasukan mencari dan menyelamat dilaksana dengan mengambil kira pelbagai aspek bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Pada Khamis lepas, penebat kilat setinggi 20 meter yang terletak di atas Menara UMNO di Jalan Macalister di sini, runtuh dan menghempap jalan serta beberapa kenderaan, susulan kejadian angin kencang.
Insiden pukul 6.45 petang itu turut mengorbankan Jahir Sulaiman, 46, selepas lori yang dinaikinya bersama rakan sekerja dihempap struktur binaan penebat tersebut.
Selain itu, seorang lagi mangsa Lim Chin Aik, 44, juga dikhuatiri maut dalam kejadian berkenaan selepas polis menemui casis kereta yang terbenam di kawasan runtuhan sepadan dengan kereta milik penjual nasi lemak terbabit.
Usaha mencari dan mengesan Lim dihentikan hari ini selepas pihak berkuasa khuatir operasi menggali di kawasan itu akan menjejaskan struktur bangunan lain memandangkan keadaan tanah yang lembut dan mudah mendap.
Lim yang memandu kereta jenis Honda City dilapor tidak kembali ke rumahnya sejak keluar untuk menjemput anaknya di sekolah pada petang hari kejadian.
No comments:
Post a Comment