Kerajaan Persekutuan simpati , sokong keluarga mangsa runtuhan saman JKSB



PULAU PINANG 12 Jun - Keluarga mangsa tragedi runtuhan tajak konkrit susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan pembinaan jambatan tersebut.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kerajaan tidak campur tangan dalam perkara tersebut malah bersimpati dengan nasib keluarga mangsa.

Menurutnya, beliau sendiri berjumpa keluarga mangsa untuk menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan.

"Saya ingin mengesahkan bahawa perjumpaan saya dengan keluarga mangsa tiada kena mengena dengan usaha untuk menidakkan hak mereka.

"Saya ingin nyatakan secara jelas bahawa apa juga tindakan seterusnya melibatkan proses undang-undang merupakan hak keluarga mangsa," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat kawasan runtuhan tajak konkrit susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Tan Sri Sulaiman Mahboob dan Pengurus Kanan JKSB, Azmi Mohamad

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.15 petang Khamis lalu, Tajudin Zainal Abidin, 45, yang juga bekas anggota polis maut akibat dihempap konkrit seberat kira-kira 300 tan selain turut mencederakan tiga yang lain.

Kelmarin adik kandung mangsa, Khairudin Zainal Abidin berkata, tindakan undang-undang akan dimulakan minggu depan bertujuan mendapatkan keadilan untuk keluarga mangsa.
Tindakan undang-undang itu dilakukan bagi mendapatkan pembelaan dan pampasan yang setimpal untuk isteri pertama mangsa iaitu Shara Ismail, 44 dan isteri kedua Shariffah Ramli, 40.
Mengenai perkembangan siasatan kejadian runtuhan struktur tersebut, Rosnah memberitahu, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh pihaknya selepas semua laporan diterima.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO sebelum itu menziarahi keluarga mangsa di Permatang Damar Laut, Batu Maung di sini.
Beliau turut menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka


No comments:

Post a Comment