– Ketika suasana negara masih panas dengan isu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 sehingga kini, banyak isu yang dimainkan oleh pembangkang di antaranya ketidaktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan PRU, isu pengundi hantu dan sebagainya.
Segala-gala isu yang dimainkan pembangkang adalah memberikan imej buruk kepada kerajaan Barisan (Nasional) sekaligus mewujudkan rasa benci rakyat kepada BN dan SPR.
Namun sebenarnya, apa sahaja yang dilontarkan oleh pembangkang kepada kerajaan pimpinan BN mahupun SPR ibarat meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri.
Menurut Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, sekiranya pembangkang khususnya DAP menuduh SPR tidak telus dalam mengendalikan 13,268,002 pengundi berdaftar, bagaimana pula dengan DAP yang menguruskan proses pengundian pada pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) yang hanya melibatkan tidak lebih daripada 2500 perwakilan.
“Sehingga kini, DAP masih gagal untuk melaku atau membetulkan kesilapan memalukan dalam proses pengundian CEC. Walaupun Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf pemilihan CEC dan seharusnya proses pemilihan diadakan semula, namun DAP masih gagal memberi jawapan konsisten tentang isu ini.
“Apa yang mereka sering lakukan adalah menyalahkan pihak ketiga menuding jari ke arah orang lain. Jika proses pengundian yang hanya melibatkan jumlah yang amat sedikitpun mereka tidak mampu telus jadi mengapa mereka harus mempertikaikan SPR yang mengendalikan jumlah pengundi yang berlipat kali ramai.
“Mengapa DAP terus-terusan mencari kesalahan memburukkan BN dan SPR sedangkan hakikat sebenarnya ‘kain’ mereka sendiri koyak rabak. Oleh itu, adalah lebih baik mereka selesaikan dahulu masalah dalaman mereka daripada terus-terusan menyerang pihak lain,” ujar Zainal kepada UMNO-Online.
Tambah Zainal, DAP perlu ingat bahawa individu yang terlibat dalam SPR semasa hari mengundi di Pulau Pinang adalah terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dan kakitangan kerajaan negeri sendiri.
Ini membawa maksud bahawa mereka adalah pro pembangkang. Keputusan PRU-13 juga menyaksikan SPR telah memberi kemenangan kepada DAP. BN pula tewas di 30 kerusi DUN dan 10 kerusi Parlimen.
“Jadi, yang harus berasa tidak puas hati dan patut komplen adalah BN. Bukan DAP. Kalau mereka terus mempertikaikan keputusn SPR maka sama seperti mereka mempertikai integriti kakitangan kerajaan negeri… Saya sendiri akui bahawa memang terdapat kekurangan semasa SPR mengendalikan PRU-13 namun mereka telah melakukan yang terbaik walau tidak sempurna.
“Seperkara lagi yang harus DAP sedar bahawa sekiranya kita mahu membuat laporan salahlaku etika pilihan raya, kita boleh lakukan kerana DAP telah mengamalkan selama bertahun-tahun memberi wang kepada para pengundi. Mereka memberi RM100 kepada pengundi berusia 60 tahun ke atas dan sebagainya.
“BN pula memberi wang kepada semua rakyat negara ini seperti BR1M dan sebagainya. Bukan seperti mereka yang hanya memberi bantuan kepada pengundi berdaftar. Ini adalah menyalahi etika pilihan raya. Jadi nasihat saya DAP dan rakan sekutunya boleh berhenti berpolitik.
“Lupakan PRU-13 dan mula buat kerja. Masih banyak yang perlu dilakukan termasuklah selesaikan masalah dalaman mereka yang amat kritikal itu. Jangan nanti bila DAP diharamkan mereka menuduh ini semua salah UMNO dan BN juga,” jelasnya lagi. – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment