BN failkan petisyen terhadap SPR bukti ia bukan alat kerajaan di PRU13




Penasihat Undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun menafikan dakwaan pembangkang kononnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memihak Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu dan menjadi alat kerajaan.

Sebaliknya, menurut beliau, BN juga mempunyai isu dengan badan bebas berkenaan dan akan membawa rasa tidak puas hati mereka ke mahkamah.

"SPR adalah satu badan bebas. Dengan kami memfailkan petisyen terhadap SPR, menunjukkan kerajaan BN pun ada isu dengan SPR.

"Jadi tak adil bagi orang kata SPR ini di bawah telunjuk kerajaan BN," katanya ketika dihubungiAntarapos, di sini.

BN semalam memfailkan sebanyak 21 petisyen pilihan raya. Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata BN pada mulanya merancang untuk memfailkan 50 petisyen, namun atas faktor ingin menjimatkan masa mahkamah dan mengelak perbelanjaan yang tidak munasabah, jumlah itu dikurangkan kepada hanya 21.

Menurut Hafarizam, terdapat lima sebab mengapa petisyen itu difailkan. Antaranya mahu membuktikan pembangkang terlibat dalam kegiatan rasuah dan menggunakan taktik menakut-nakutkan pengundi.
"Pertama, ada orang tak dibenarkan mengundi. Kedua, ada orang dapat mengundi dua kali.
"Ketiga, kertas undi yang dikeluarkan tak sama dengan kertas undi yang dikembalikan. Jadi keluarkan kertas undi (baru) untuk bagi sama," katanya lagi.
Beliau berkata BN tidak seperti pemimpin pembangkang yang gemar memperbesar-besarkan sesuatu isu. Sebaliknya, menurut Hafarizam, BN menggunakan saluran undang-undang untuk mencari keadilan.
Sebelum ini, selain membuat sidang akhbar demi sidang akhbar, Pakatan juga membuat siri demonstrasi di seluruh negara sehingga menimbulkan suasana tidak tenteram kepada rakyat di negara ini. Alasan mereka pilihan raya negara ini tidak telus.
Menggelarkan siri demonstrasi itu 'Blackout505', Pakatan juga mendesak mahukan pegawai kanan SPR meletakkan jawatan. Satu lagi himpunan besar-besaran dijadualkan di Padang Merbok pada 22 Jun depan.
Ironinya, Pakatan menerima keputusan pilihan raya di negeri-negeri yang dimenangi mereka seperti di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.
Petisyen pilihan raya perlu dikemukakan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan pada 22 Mei lalu.
Pakatan Rakyat juga memfailkan 35 petisyen berhubung kesalahan yang didakwa berlaku semasa pilihan raya 5 Mei lalu. Daripada jumlah itu, 25 membabitkan kawasan Parlimen dan 10 kawasan DUN.

No comments:

Post a Comment