KUALA LUMPUR, 27 Mei – Pakatan pembangkang seharusnya berhenti ‘berkokok di luar gelanggang’ berhubung keputusan pilihan raya umum ke-13 yang lalu sebaliknya menggunakan tempoh untuk mengemukakan petisyen bagi mencabar keputusan yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Seri Mohd Fairus Khairuddin berkata itu adalah jalan dan saluran terbaik dengan mengemukakan segala bukti-bukti yang mencukupi bagi menyokong segala dakwaaan mereka sebelum ini.
Menurut beliau tidak ada gunanya sekadar melemparkan pelbagai tohmahan kerana peluang dan ruang telah disediakan secukupnya oleh undang-undang berhubung apa yang mereka utarakan sebelum ini.
“Ruang yang disediakan itu menunjukkan kepada umum bahawa tohmahan mereka terhadap SPR dengan pelbagai cemuhan dan segala-galanya tidak benar sama sekali. Mana-mana pihak diberikan ruang seluasnya dalam tempoh tersebut.
“Kemukakan petisyen, tunggu tarikh perbicaraan dan tunggulah keputusan mahkamah kelak. Itu adalah sebaik mungkin,” katanya kepada UMNO-Online, hari ini.
Beliau seterusnya menyarankan agar kerajaan mengenepikan segala tohmahan dan isu-isu berbangkit berhubung perkara itu sebaliknya menumpukan kepada pelaksanaan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat.
Katanya banyak agenda yang mesti dilakukan oleh kerajaan dalam usaha memastikan kesinambungan pembelaan terhadap rakyat dapat diteruskan.
“Bagi saya tidak perlu dilayani apa jua perkara yang boleh menrencatkan tumpuan ke arah kerajaan untuk membela nasib rakyat. Banyak manifesto dan akujanji yang mesti ditunaikan dan itulah yang perlu diutamakan,” katanya. – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment