KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mencabar Pakatan Pembangkang supaya menjemput Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memberi penjelasan terhadap tuduhan kononnya berlaku beberapa penyelewengan semasa Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu.
“Mereka tuduh konon ada black-out, peti undi hilang, ada pengundi hantu dan macam-macam lagi. Kalau Pembangkang ada telor, jemputlah SPR beri penerangan, dan berdialog. Kalau SPR boleh terima jemputan UMNO untuk berbuat demikian, kenapa mereka harus tolak pelawaan pembangkang,” katanya pada sidang media di PWTC, Isnin.
Sidang media itu diadakan selepas sesi dialog antara Ketua Penerangan sayap dan bahagian UMNO seluruh negara dengan pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.
Ahmad Maslan berkata pembangkang harus berani mengemukakan tuduhan itu secara berdepan dengan SPR dan bukannya mengelirukan dan menghasut rakyat dengan menabur fitnah menerusi himpunan, bantahan atau demonstrasi.
Ahmad menganggap tindakan pembangkang mempersoalkan penggunaan dakwat kekal sebagai alasan lemah kerana seseorang yang sudah datang mengundi dan dicalit dakwat, namanya akan dipotong oleh petugas-petugas SPR sebanyak empat peringkat dan mustahil dia boleh mengundi lebih daripada sekali.
Katanya, dakwaan berlakunya gangguan bekalan elektrik juga tidak masuk akal kerana Tenaga Nasional (TNB) dan SPR sendiri sudah mengesahkan tidak berlaku sebarang gangguan sepanjang hari mengundi itu.
“Kalau berlaku black-out pun, pengundian dilakukan pada waktu petang dan masih terang benderang untuk mengira,” katanya.
Ahmad Maslan berkata, tuduhan ada pengundi hantu di kalangan orang asing juga tidak logic kerana hanya warganegara Malaysia yang memegang MyKad yang berdaftar sahaja yang berhak mengundi.
“Pembangkang janganlah meliwat pemikiran rakyat. Hormatilah mandat yang diberikan rakyat. Jika tak berpuashati, failkan petisyen di mahkamah. Inilah sistem yang pernah memberi peluang kepada pembangkang mahupun BN untuk mendapat hak perbicaraan,” katanya.
Menurut Ahmad Maslan, pada 1999 SPR menerima petisyen paling banyak, iaitu 40, berbanding 30 pada 2004 dan 26 pada 2008.
Ahmad turut membidas Pembangkang, terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sibuk melaungkan mereka telah menang berdasarkan undi popular.
“Undang-undang Malaysia menetapkan proses pilihanraya berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, bukan jumlah undi popular. Pembangkang bukan menang undi popular di semua negeri, hanya menang lima negeri sahaja tetapi mereka mengelirukan rakyat kononnya mereka menang keseluruhan,” katanya.
Ahmad seterusnya mencadangkan SPR menyaman Pembangkang kerana fitnah-fitnah yang dilemparkan terhadap badan itu - 13/5/13.
No comments:
Post a Comment