Keputusan PRU13 dijangka diketahui awal pada pukul 7.30 malam




KUALA LUMPUR – Keputusan penuh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dijangka diketahui selewat-lewatnya tengah malam ini, sekali gus membolehkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat dapat dibentuk.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, keputusan paling awal dijangka diketahui pada pukul 7.30 malam ini.
Antara kawasan yang dijangka mendapat keputusan terawal ialah Baram, Sarawak, Kinabatangan dan Silam di Sabah; Gua Musang, Kelantan; Hulu Terengganu; Gerik, Perak dan Baling, Kedah.
“Pada peringkat perancangan SPR, kita akan umum majoriti mudah yang dimenangi oleh parti yang bertanding pada peringkat negeri dan seterusnya pada peringkat Parlimen.
“Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada kelancaran perjalanan pilihan raya jika tiada sebarang masalah, kekacauan, lancar, tiada kesilapan, cuaca baik, tiada kiraan semula, Insya-Allah, sebelum pukul 12 malam, kita sudah tahu siapa yang menang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pilihan raya umum kali ini menyaksikan seramai 13.26 juta pengundi akan mengundi di 26,219 tempat mengundi bagi memilih 222 orang Ahli Parlimen dan 505 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Bagi membentuk sebuah kerajaan Persekutuan, sesebuah parti politik yang bertanding memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan dengan majoriti mudah sebanyak 112 kerusi Parlimen, manakala sebanyak 148 kerusi untuk kemenangan dengan majoriti dua pertiga.
Abdul Aziz turut menasihatkan orang ramai supaya tidak percaya dengan sebarang khabar angin daripada pelbagai saluran seperti khidmat pesanan ringkas, Facebook, Twitter atau dari mulut ke mulut.
“Ini semua perang saraf kerana mahu menggagalkan proses demokrasi di negara yang kita cintai ini dan saya harap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan dapat memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, turut menyatakan kemungkinan keputusan akan dapat diketahui lebih awal berdasarkan pengalaman pada pilihan raya yang lalu.
“Keputusan awal akan diketahui di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen yang mempunyai bilangan pengundi yang kecil terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau menjelaskan, 20 peratus daripada DUN dan Parlimen terletak di kawasan luar bandar yang mempunyai pengundi kurang 15,000 orang.
Wan Ahmad kemudian mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menghalang dan mengganggu pengundi untuk menjalankan kewajipan mereka.
“Jangan petugas-petugas parti nanti buat kerja-kerja polis. Ini adalah satu kesalahan besar dan boleh dikenakan tindakan penjara tidak melebihi dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, seramai 18 pemerhati antarabangsa yang dijemput SPR untuk menyaksikan proses PRU-13, berpeluang meninjau persiapan pusat pengundian di sekitar ibu negara semalam.
Wan Ahmad berkata, mereka terdiri daripada masing-masing enam wakil dari Indonesia dan Thailand, masing-masing dua dari Myanmar dan Kemboja serta dua wakil Sekretariat ASEAN yang juga merupakan petugas SPR di negara mereka.
“Pemerhati asing ini juga akan memantau proses pengundian beberapa kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan seperti Gombak, Titiwangsa dan Setiawangsa termasuk proses pengiraan undi di Putrajaya esok (hari ini),” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Pilihan_Raya&pg=pr_14.htm#ixzz2SNHUU3oh 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment