DAP adalah parti RASIS bukannya BN - bekas ahli




KUALA LUMPUR 10 Mei - Ideologi dan fahaman DAP yang menjurus kepada semangat perkauman menyebabkan orang Cina menganggap parti itu sebagai ‘penyelamat’ mereka berbanding Barisan Nasional (BN).

Bekas Setiausaha Publisiti DAP Cawangan Taman Nesa, Skudai, A. K. Murugan berkata, DAP berjaya meyakinkan pengundi Cina hanya parti itu yang akan membela dan memperjuangkan nasib mereka sampai bila-bila.

Dakwanya, DAP telah lama memainkan sentimen perkauman terutamanya dengan menanam politik kebencian melampau terhadap kerajaan BN sehingga masyarakat Cina gagal menilai kebaikan kerajaan terhadap golongan itu.

“Apa yang orang Cina lihat dan percaya ialah DAP sahaja dan parti itu seolah-olah telah berjaya ‘memukau’ kaum tersebut untuk hanya bersama dengan mereka dan membenci kerajaan.

“DAP adalah parti cauvinis yang memiliki sifat perkauman yang sangat kuat walaupun pada luaran mereka sering gah mengatakan mereka sebuah parti untuk semua kaum, DAP yang rasis, bukan BN sebenarnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pandangan pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim yang melihat masyarakat Cina tidak faham pentingnya perpaduan kerana semangat perkauman dalam jiwa mereka masih menebal.

Kay Kim menyifatkan pengundi Cina sebagai rasis apabila tidak berusaha untuk memakmurkan semangat masyarakat majmuk yang sentiasa disuarakan oleh pemimpin negara termasuk ketika di bawah penjajahan British.
Beliau menegaskan, situasi itu boleh mendatangkan malapetaka kepada Malaysia suatu hari nanti jika tidak diselesaikan dengan bijak termasuk kemungkinan berlaku pergaduhan kaum
Murugan berkata, percaturan politik perkauman DAP telah memberi impak besar kepada negara apabila parti itu muncul dominan dalam pakatan pembangkang malah berjaya menumbangkan beberapa pemimpin besar BN.

“Politik perkauman bukan sahaja membimbangkan malah menyebabkan kita tidak harmoni di bawah konsep negara berbilang kaum kerana masyarakat Cina seolah-olah sudah mempunyai hala tuju mereka sendiri.

“DAP juga dilihat tidak ‘berpuas hati’ walaupun selepas menang begitu banyak kerusi dan mereka masih dilihat mengeluarkan provokasi berbaur perkauman sehingga media sosial berterusan memainkan isu itu dengan menyalahkan BN," ujarnya.

Sementara itu, bekas ketua cawangan DAP Pantai Sepang, R.Vellasamy berkata, DAP harus tampil memberi penjelasan bagaimana beberapa kerusi yang ditandingi oleh calon India DAP boleh kalah.

“Jika DAP bukan rasis dan cauvinis, sila terangkan bagaimana kerusi yang ditandingi oleh calon India DAP boleh kalah? Adakah pengundi Cina hanya berminat dengan calon Cina DAP sahaja?

“Mengapa kepimpinan tertinggi DAP bertindak mengurangkan kuota calon India DAP pada pilihan raya lalu ? Semua ini menimbulkan keraguan terhadap slogan dan perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ yang sering menjadi modal mereka," tegasnya

No comments:

Post a Comment